suria

Bukan senang-senang boleh sentuh! Didik anak kenal zon larangan... Bendung nafsu serakah pelaku amang seksual

Jika ditelusuri menurut perspektif Islam, amang seksual adalah haram dengan sokongan nas daripada al-Quran.

SEJAK akhir-akhir ini, kes gangguan seksual melibatkan figura terkenal semakin meningkat bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Tidak terlepas, segelintir media juga mengambil kesempatan menambah bilangan pembaca dengan nukilan kisah-kisah panas ini meskipun masih belum dibuktikan secara pasti.

Perkara ini disokong lagi dengan bidasan, kecaman serta kritikan daripada netizen yang membaca. Tuntas, sejauh mana isu ini diberi perhatian menurut kaca mata Islam?

Asasnya, amang seksual ialah keadaan seseorang lelaki atau perempuan dewasa yang mempunyai ketertarikan atau hasrat seksual terhadap kanak-kanak yang belum memasuki fasa remaja.

Kes pertama yang dicatatkan di Malaysia melibatkan Richard Huckle pada tahun 2016 dan mendapat liputan luas sekaligus mencatat rekod gangguan seksual terbesar ketika itu.

Jika ditelusuri menurut perspektif Islam, amang seksual adalah haram dengan sokongan nas daripada al-Quran.

Perbuatan ini berlawanan dengan fitrah manusia bahkan melanggar akhlak sebenar seorang muslim.

Dalam konteks pengharaman, perlakuan keji ini berlaku apabila ia berpunca daripada nafsu serakah si pelaku dan melanggar kehormatan serta kesucian manusia.

717169

Dr Hadi berpesan agar ibu bapa mendidik anak tentang had pergaulan dan sifat malu apabila bergaul dengan jantina lain.

Dalam pada itu Islam dengan tegas melarang segala tindakan penyimpangan seksual dan hal yang mendekatinya berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Isra yang bermaksud: Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk. [Surah Al-Isra, ayat 32]

Daripada perspektif yang berbeza, ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi membendung isu ini. Persoalan yang mungkin boleh diketengahkan dalam masyarakat iaitu soal aurat kanak-kanak kecil di tempat awam mahupun dengan penjaganya.

Rata-rata masyarakat tidak lagi mengambil berat isu aurat ini terutamanya apabila isu ini diterjemahkan di tempat-tempat rekreasi seperti taman tema dan sebagainya.

Walaupun hakikat asal kanak-kanak yang belum baligh tidak terikat dengan keahlian dalam sesebuah perintah wajib.

Namun, bagaimana usaha kita sebagai orang dewasa untuk menerapkan sifat malu dalam diri anak-anak semenjak mereka kecil lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Perlu ke ‘reject’ calon menantu jenis tak solat? Tak salah mak ayah restu pilihan anak, tapi kena bimbing jadi lebih baik

Begitu juga, pakaian renang kanak-kanak yang dihasilkan dengan pelbagai reka bentuk, akhirnya membawa mata-mata hina menilai perkara tersebut dengan nafsu syahwat.

Lantas tanggungjawab ini perlu digalas oleh ibu bapa yang berperanan sebagai pelindung dan pencorak acuan kepada anak-anak.

Memetik pandangan mazhab Syafie dalam hukum melihat dan menyentuh kemaluan anak kecil adalah tidak dibolehkan kecuali bagi ibunya ataupun sesiapa yang terlibat dalam menguruskan, menjaga, mendidik dan membesarkan kanak-kanak tersebut.

Pandangan ini disokong oleh Imam Rofie dengan pendiriannya bahawa melihat alat kelamin anak kecil hukumnya haram di dalam kitabnya al-Uddah. Walaupun begitu, terdapat perselisihan pandangan yang dikemukakan oleh Imam Nawawi bahawa melihat kelamin anak kecil yang belum sampai pada had syahwat hukumnya diperbolehkan.

410592

Islam dengan tegas melarang segala tindakan penyimpangan seksual dan hal yang mendekatinya.

Apapun para fuqaha bersepakat dalam hukum haram melihat dan menyentuh kemaluan anak kecil apabila disusuli dengan nafsu syahwat.

Oleh itu, perlu difahami bahawa isu ini merupakan isu yang berat sehingga diperbahaskan oleh para fuqaha secara panjang lebar.

Maka, seharusnya kita sebagai umat Islam yang hidup dalam era yang membangun ini lebih cerdik dalam mengatasi masalah sosial ini.

Sehubungan dengan itu, beberapa tip yang boleh dikongsikan bagi mendidik anak tentang pentingnya menjaga kehormatan diri sejak kecil antaranya:

Ajarkan anak supaya mengenakan pakaian yang sesuai dan sopan, walaupun berada di rumah. Terangkan kepada anak tentang anggota yang sensitif dan tidak sepatutnya disentuh oleh orang lain.

Didik anak tentang had pergaulan dan sifat malu apabila bergaul dengan jantina lain.

Sebagai deduksi, peringatan buat kita semua sebagai muslim yang seharusnya mengenal dosa dan pahala, berhentilah menjadi penilai dan penghukum terhadap sesuatu isu yang bukan di bawah bidang kuasa.

Perbuatan menuduh seseorang melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah ini ditegah secara jelas.

Sabda Rasulullah SAW: Dari Abu Zar R.A, dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Seorang lelaki yang menuduh lelaki lain itu jahat atau menuduhnya kafir, maka tuduhannya itu berbalik kepada dirinya, seandainya orang yang dituduhnya itu tidak seperti itu.” [HR Bukhari dan Muslim 1709]

Dengan ini diharapkan agar kita sama-sama mengambil inisiatif bagi memelihara agama Islam yang suci dan sentiasa menawarkan keharmonian, kasih sayang dan rasa selamat bagi seluruh alam.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain