suria

Asma Harun malu tonton video kawan beri hadiah kondom, minta jangan budayakan jenaka lucah

Asma Harun berharap budaya memberi hadiah tidak senonoh ketika majlis perkahwinan tidak dijadikan amalan.

TINDAKAN sekumpulan lelaki yang cuba 'berjenaka' dengan memberi kondom sebagai hadiah perkahwinan kepada pasangan mempelai mengundang kecaman hebat daripada warga maya.

Tidak hanya mendapat kecaman netizen, perkongsian video yang tular sejak Sabtu lalu itu juga mendapat perhatian pendakwah bebas, Asma Harun yang menyifatkan jenaka lucah sedemikian tidak patut dijadikan budaya.

Jelas Asma, tidak berbaloi untuk melakukan perkara sedemikian semata-mata untuk publisiti sehingga maruah tergadai dan memberi kesan kepada orang lain yang menonton.

"Sebenarnya saya yang menonton pun jadi malu, apatah lagi apabila melihat kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan tertunduk sambil menutup muka dengan pemberian mereka yang tiada sedikit pun rasa malu.

553

Pengantin terpaksa menahan malu apabila rakan-rakan memberi hadiah kondom di pelamin.

"Saya mohon, janganlah budayakan jenaka lucah sebegini, fikirkanlah apa kesannya kepada sesiapa yang melihat," katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Asma berkata, perasaan malu itu adalah salah satu sifat mulia kerana ia melindungi manusia daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.

Asma berkata, dengan rasa malu, manusia akan berasa takut untuk melakukan maksiat, menyakiti orang lain, melihat perkara haram, mendedahkan aurat, melakukan perkara menjatuhkan maruah dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin penerima hadiah kondom tak ambil hati lawak dianggap tak kena tempat, mohon maaf bagi pihak sahabat

"Tidak salah ingin memberi, tidak salah ingin membahagiakan kawan ketika hari bahagianya, tetapi apabila sampai mencemarkan adab depan orang ramai, bahkan ditontonkan pula secara terbuka di media sosial, ia sangat melampau," katanya.

1628271

Perbuatan ini bukan sahaja menjatuhkan maruah tetapi dibimbangi akan menjadi ikutan.

Rasulullah SAW bersabda: (Maksudnya): "Sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui oleh manusia dari kalimah kenabian terdahulu adalah, “Jika engkau tidak malu, buatlah sesuka hatimu.” (HR Bukhari, hadis sahih)

Ayat 'buatlah sesuka hatimu' jelas Asma bukan bererti Rasulullah SAW memberi kebebasan kepada kita untuk lakukan sewenangnya, tetapi ia merupakan satu sindiran amat pedih bagi mereka yang memiliki iman.

"Kita bimbang jika Allah dan Rasulullah sudah tidak lagi peduli pada kita sedangkan syurga-Nya dan syafaat Baginda yang kita tagihkan," ujarnya.

Sementara itu, Asma berkata, setiap manusia semenangnya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan namun sebaik-baik pendosa ialah yang bertaubat.

Apa yang dilakukan oleh pihak tersebut katanya memang memalukan diri sendiri namun sebagai manusia jangan berputus asa dengan rahmat-Nya, jika ada sedikit rasa malu kepada Allah maka bertaubat.

Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, beliau berkata: (Maksudnya): "Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya sepertinya berada di bawah gunung, dia bimbang gunung itu runtuh ke atasnya. Sebaliknya orang keji (derhaka) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya. Dia berkata "Ini cuma seperti ini, lalu terbang." (HR Tirmizi, hadis sahih)

Firman Allah SWT: (Maksudnya): Katakanlah, “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Az-Zumar 39: 53)

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain