suria

Banyak kes penganiayaan peniaga terhadap pelanggan, ustaz pesan penipuan dalam perniagaan dilarang dalam Islam

Baru-baru ini kecoh majlis kenduri pasangan pengantin tidak cukup lauk selepas ditipu oleh pihak katerer.

PENGANIAYAAN merupakan perkara yang ditegah dalam Islam. Ia membawa kepada kemudaratan kepada individu, keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

Islam melarang umatnya berlaku khianat dan menganiaya sesama Islam mahupun bukan Islam. Perkara tersebut perlulah dijauhi dalam semua aspek kehidupan termasuklah dalam urusan perniagaan.

Baru-baru ini, tular satu video pengguna Tiktok yang menzahirkan rasa sedih dan tertekan apabila majlis kenduri perkahwinannya tidak dapat berlangsung seperti yang diimpikan.

Hal tersebut berikutan pihak perancang perkahwinan yang dilantik gagal membayar tempahan makanan kepada perkhidmatan penyediaan makanan untuk menyediakan makanan kepada tetamu yang hadir.

Akhirnya, tanpa persediaan khusus pihak majlis sendiri yang berhempas-pulas menyediakan makanan secara mengejut pada hari tersebut. Situasi sebegini meletakkan pelanggan dalam keadaan teraniaya.

Barang palsu

Ramai pembeli menerusi laman sosial tertipu dengan penjual.

Kejadian tersebut mendapat respon meluas dari pengguna di media sosial. Kebanyakan pengguna memberikan kritikan, meluahkan rasa sedih dan bersimpati kepada pihak penganjur majlis tersebut.

Kes sebegini bukanlah asing lagi kerana sebelum ini sudah banyak laporan kejadian sama berlaku.

Dalam hal tersebut, Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam bab mualamat. Perniagaan yang berunsurkan penipuan, penindasan dan penganiayaan kepada pelanggan adalah dilarang di sisi syarak. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” [Surah al-Nisa, ayat 29]

Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah menegur seorang peniaga apabila dia cuba menipu dalam perniagaannya. Hal ini termaktub dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut;

ARTIKEL BERKAITAN: Jemputan 700 orang, katerer hantar 50 pax je! Pengantin tak akan lupa ‘tragedi kenduri tanpa makanan’, minuman pun tak ada

ARTIKEL BERKAITAN: Video live berzikir depan kubur jadi perdebatan, ada yang kata bidaah! PU Syed tegur, boleh undang fitnah terhadap Islam

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbunan makanan (yang dijual) lalu memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda; “Apakah semua ini wahai pemilik makanan?” Lelaki itu menjawab; “Makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda; “Kenapa kamu tidak jadikan yang basah itu di sebelah atas agar manusia dapat melihatnya. Sesiapa yang menipu maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).” [HR Muslim 102]

Justeru, peniaga harus beringat dan bertanggungjawab dengan barang jualannya. Perlakuan tipu dan penganiayaan akan mengakibatkan dosa di sisi agama. Berikut merupakan antara aturan dalam perniagaan;

1. Perniagaan mestilah tidak berasaskan penipuan

Peniaga yang meletakkan harga jualan yang terlalu murah merupakan antara taktik dalam menipu pelanggan. Perkara sebegini merupakan cara paling mudah untuk memerangkap pembeli membeli jualannya.

Oleh itu, perbuatan menipu dilarang keras dalam perniagaan. Pada masa sama, pembeli perlu bijak dalam menilai sesuatu produk supaya barangan yang dibeli bersesuaian dan munasabah dengan mutu barangan yang ditawarkan.

1

2. Tidak menzalimi dan menganiaya pelanggan

Apabila diamanahkan oleh pelanggan, segala gerak kerja dan hal berkaitan yang dipersetujui dengan pelanggan perlu dipenuhi. Semua butiran, jumlah barangan masa menerima barangan dan lain-lain perlu di penuhi seperti mana yang dijanjikan.

Peniaga yang gagal berbuat demikian dikira menganiaya dan menzalimi pelanggan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya; “Barangsiapa yang berjual beli salaf (salam) hendaklah dia berjual beli dengan sukatan yang dimaklumi, timbangan yang dimaklumi dan tempoh yang dimaklumi.” [HR Bukhari 2125]

3. Tidak berlaku khianat terhadap pelanggan

Semua peniaga perlu mengambil berat berkenaan kejujuran dalam berniaga kerana setiap perniagaan yang baik akan dikira sebagai ibadah sekiranya betul caranya.

Jangan menganiaya dan berlaku khianat pelanggan kerana doa orang yang dizalimi tiada penghalang sepertimana sabda Rasulullah SAW;

“Takutlah (berhati-hatilah) kamu terhadap doa orang yang dizalimi, kerana antara doanya dan Allah tidak ada apa-apa penghalang.” [HR Bukhari 2448]

Dalam isu di atas, sekiranya rukun dan syarat jual beli sudah dipenuhi, pihak perancang perkahwinan perlu mengikut perjanjian akad yang dipersetujui.

Jika sebaliknya berlaku, maka pihaknya dikira berdosa kerana telah berbuat aniaya dan khianat kepada pembeli.

Perlu diingat bahawa akad juga bermaksud kontrak janji. Perjanjian akad tentang sesuatu perkara perlu dipenuhi supaya semua pihak berpuas hati dan tiada yang teraniaya.

Sekalipun tidak dapat mengikuti sepertimana yang telah dipersetujui dalam akad, peniaga perlu jujur kepada pelanggan dengan memaklumkan hal berkenaan dengan alasan apapun.

Hal ini penting supaya pembeli maklum akan hal berkenaan dan mempunyai masa yang cukup untuk membuat perancangan lain. Semoga kita semua dijauhkan dari sifat zalim dan tidak dizalimi oleh orang lain.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain