suria

Pondan dihina solat di surau... jangan jadi asbab sehingga orang lain putus asa nak berubah, terus buat kebaikan

Video dikongsi Jelly tular di laman sosial.

DALAM hidup ini, kita digalakkan untuk berbuat kebaikan. Jika kebaikan yang dilakukan itu dibuat dengan hati yang ikhlas, pasti Allah akan memberikan rahmat dan sesuatu buat kita sebagai balasan atas setiap amalan baik yang telah dilakukan.

Mengajak orang lain berbuat baik juga sangat dituntut dalam Islam. Namun, setiap perbuatan buruk dan mungkar ditegah dalam Islam. Firman Allah dalam Surah Al-Imran ayat 104 yang bermaksud:

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak pondan terus ketawa! Lelaki lembut sedih diejek masuk surau Muslimin, selesai solat Asar terus dihina

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.”

Baru-baru ini terdapat sebuah rakaman video yang tular di laman sosial tentang luahan seorang pondan yang solat di surau kerana mendapat sindiran daripada beberapa orang di kawasan surau tersebut.

Individu tersebut masuk ke surau muslimin untuk menunaikan solat dan ketika hendak keluar setelah selesai menunaikan solat, dia ditertawakan oleh beberapa orang lelaki yang melihatnya.

Tentang isu ini, tidak menjadi kesalahan seseorang itu hendak menunaikan solat di surau bahkan ia dialu-alukan, sebagai hamba Allah maka pintu untuk kembali kepada Allah terbuka dengan sangat luas selagi mana mereka masih hidup.

WhatsApp-Image-2022-03-27-at-2.33.47-PM

Sesiapa yang mengambil jalan selain dari Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi.

Allah juga memujuk mereka supaya tidak berputus asa dengan rahmatNya seperti mana firmanNya di dalam Surah Az-Zumar ayat 53:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa".

Islam adalah cara hidup yang sempurna. Justeru, bagi sesiapa yang mengambil jalan selain dari Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi.

Antara perkara yang ditolak adalah golongan yang menyerupai wanita atau lelaki sebagaimana dalam hadis:

Maksudnya: "Baginda Rasulullah melaknat para lelaki yang menyerupai perempuan, dan para perempuan yang menyerupai lelaki." [HR Bukhari 5885]

Perbuatan mereka yang melanggar perintah Allah dari segi perubahan penampilan itu menjadi celaan masyarakat.

solat-sunat

Tidak wajar untuk kita menghina serta membuka aib individu yang berusaha dalam melakukan perubahan.

Membenci perbuatan seseorang yang bercanggah dengan agama Islam adalah tanda iman seseorang itu hidup tetapi ia bukanlah tiket untuk kita sentiasa menghina mereka yang melakukan kesalahan tersebut.

Perbuatan menyerupai jantina lain ini jelas keharamannya. Golongan yang melakukan perbuatan ini perlu ditegur dengan cara yang diajar oleh baginda Rasulullah:

Maksudnya: “Barangsiapa antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah dengan lisan, dan jika tidak mampu hendaklah membenci dalam hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.” [HR Muslim 49]

Berdasarkan hadis berikut, antara cara dakwah dan teguran kepada orang lain yang diajar oleh Rasulullah adalah:

Dengan kekuasaan

Dengan lidah (percakapan)

Dengan hati

Dalam hal ini, tidak wajar untuk kita menghina serta membuka aib individu yang berusaha dalam melakukan perubahan.

Bahkan, perbuatan menghina itu akan menyakitkan hati orang tersebut dan mereka akan berasa sia-sia untuk berubah kerana manusia akan terus mengata dan mengeji.

Sepatutnya, golongan pondan yang masuk ke dalam masjid atau surau untuk mengerjakan ibadah perlu disantuni dan diberikan kata-kata yang baik agar mereka kembali kepada Allah. Kita perlu membimbing golongan seperti ini untuk mereka berubah.

Oleh yang demikian, jadilah mereka yang menyampaikan kebenaran adapun yang akan menghakimi setiap perbuatan mereka adalah Allah.

Tindakan seperti menyindir dan mengabaikan golongan ini boleh menyebabkan hati mereka tidak tetap untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Oleh itu, janganlah kita menjadi seseorang yang suka menghina orang lain dan menjadi asbab terhentinya perubahan dan penghijrahan seseorang yang ingin berubah menjadi baik kerana perubahan bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi apabila orang sekeliling mengeji setiap perbuatan baik itu.

Bukan sahaja dikeji bahkan ada juga yang cuba menghalang seseorang untuk berbuat baik.

Sepatutnya, kita hendaklah sentiasa memberi sokongan kepada rakan yang berubah ke arah kebaikan. Apa yang salah, tetap menjadi kesalahan dan perlu diperbaiki.

Usah kita menghukum dan menjatuhkan golongan ini seolah-olah mereka adalah pendosa yang sudah tidak berpeluang untuk berubah dan hidup di atas dunia.

Berdoalah agar mereka diberikan taufik dan hidayah oleh Allah Ta’ala untuk berubah dan kembali kepada fitrah sebenar dalam kehidupan mereka.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain