suria

Nabi SAW juga pernah bergurau namun ada batasnya... Elak lakukan 5 perkara ini

Bergurau itu tidak salah tapi jangan sampai berlebih-lebihan.

BERGURAU merupakan satu perkara biasa dalam kehidupan. Ia sudah menjadi warna-warni dalam hidup seseorang dengan gurauan-gurauan sama ada bersama adik beradik, kawan-kawan atau sesiapa sahaja bertujuan mahu menceriakan suasana.

Namun, ketahuilah bahawa Islam sebenarnya ada menyediakan garis panduan yang lengkap dalam kita melayari kehidupan di muka bumi ini. Bukan semberono hendak bergurau-senda dan mengusik orang tak tentu pasal.

ARTIKEL BERKAITAN: Peperangan Palestin dan zionis adakah ia tanda kiamat sudah hampir?

Seseorang yang berperwatakan serius sahaja sepanjang masa, tiada unsur humor dan sebagainya sebenarnya telah menafikan fitrah seorang manusia biasa.

Baginda Rasulullah sendiri tidak menafikan fitrah sebagai manusia yang sukakan suasana gembira dan ceria. Ada waktunya baginda akan bergurau senda bersama isteri-isteri dan sahabat-sahabat baginda.

Cara baginda bergurau senda itulah yang sepatutnya menjadi panduan kepada kita.

Berkata Imam Nawawi: Ketahuilah bahawa bergurau yang ditegah adalah yang melampau dan berlebih-lebihan dan dijadikan kebiasaan.

Ia akan menyebabkan gelak-ketawa dan kekerasan hati demikian juga menyibukkan hati daripada mengingati Allah dan dari memikirkan perkara-perkara penting dalam agama, kebanyakannya berkesudahan dengan mendatangkan keburukkan dan menghasilkan sifat dendam, menghilangkan kehebatan seseorang.



Ada cara hendak bergurau dan bukannya sampai menjatuhkan maruah seseorang.

Adapun gurauan yang bebas dari perkara-perkara ini adalah harus dan dilakukan oleh Baginda Rasulullah secara sekali-sekala untuk kebaikan jiwa dan ia adalah sunah. Pernah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua yang bertemu meminta Rasulullah mendoakannya masuk syurga.

Rasulullah bersabda: Wahai ibu, syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua. Lantas orang tua itu menangis kerana hanya memahami zahir daripada kata- kata Rasulullah.

Lalu Baginda menjelaskan kepadanya bahawa apabila dia masuk ke dalam syurga, dia tidak masuk dalam keadaan tua tetapi bertukar menjadi wanita muda yang cantik.

Kemudian Rasulullah membaca firman Allah di dalam Surah al-Waaqi'ah ayat 35-37 yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. - [HR Tirmizi dalam Syamail].

Antara larangan yang tidak boleh dilakukan ketika bergurau senda ialah:

1. Jangan bergurau dengan benda tajam

Sudah menjadi kebiasaan mereka di luar sana yang ingin mencari kandungan media sosial, mereka sanggup bergurau dengan benda-benda yang berbahaya seperti pisau, pistol, pedang dan lain-lain lagi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Tahukah kita bahawa orang yang menghunus benda tajam kepada saudaranya merupakan amalan yang terlaknat. bSabda Baginda Rasulullah: Barang siapa yang memberikan isyarat menghunus dengan satu benda tajam kepada saudaranya, nescaya para malaikat akan melaknatnya sekalipun jika dibuat kepada saudara sebapa atau seibunya. - [HR Muslim 2616].

Berkata Imam Nawawi dalam al-Minhaj: Maksud para malaikat melaknat itu adalah menunjukkan kepada hukum haram. al-Minhaj (16/170).

Baginda Rasulullah juga mengingatkan kepada kita dengan sabda Baginda: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menetapkan bahawa tidak boleh memudaratkan (orang lain) dan tidak boleh membalas mudarat (dengan mudarat). - [HR Ibnu Majah 2340].

2. Jangan bergurau dengan menjatuhkan maruah seseorang

Bergurau untuk menjatuhkan maruah seseorang pada hari ini sudah menjadi kebiasaan tanpa memikirkan tentang hukum hakam.

Memang menjadi satu keseronokan apabila kita boleh mendedahkan aib orang lain atau menjatuhkan maruah orang lain di hadapan khalayak. Tetapi bagi seorang Muslim kita diajar untuk menjaga kehormatan saudara-saudara kita.

Sabda Baginda Rasulullah: Seorang muslim itu saudara bagi muslim yang lainnya. Tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh pula menyerahkan kepada orang yang hendak menyakitinya. Barang siapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya. Barang siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, nescaya Allah akan melapangkan kesusahan-kesusahannya di Hari Kiamat. Dan barang siapa yang menutupi kesalahan seorang muslim, nescaya Allah akan menutupi kesalahannya kelak di Hari Kiamat. - [HR Bukhari 2442 dan Muslim 2580].

3. Elak bergurau menghina tubuh badan

Body shaming atau ejekan tubuh boleh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau melalui menghina fizikal bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan dialami mereka.

Body shaming bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah menjadi barah dalam masyarakat kita yang mana baru-baru ini kita telah disajikan dengan berita seorang influencer telah mengejek serta memaki-hamun secara terang-terangan di media sosial.

Terdapat satu hadis yang mana secara ringkasnya telah diceritakan bahawa Baginda Nabi pernah menegur seorang sahabat yang mentertawakan Abdullah Ibnu Mas’ud yang memiliki betis yang kecil.

Baginda Rasulullah bersabda dengan maksud: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di atas timbangan daripada Gunung Uhud” - [HR Ahmad 3991].

Hadis ini secara jelas menerangkan perbuatan menghina fizikal sesorang adalah dilarang dan ditegah sama sekali. Walhal sahabat tidak mengeluarkan kata-kata hinaan dan hanya ketawa sahaja. Ia adalah haram dan mereka terus ditegur oleh Rasulullah.

Ejekan tubuh satu isu, isu lainnya adalah bahasa yang digunakan adalah tidak enak didengar dan tidak menzahirkan peribadi muslim yang baik.

4. Menipu jangan dijadikan gurauan

Menipu merupakan satu perkara yang ditegah dalam Islam. Menipu untuk mendapatkan perhatian manusia dan untuk menghiburkan manusia lain adalah perkara yang dilarang dalam Islam.

Sabda Baginda Rasulullah: Celakalah orang yang berbicara kemudian berbohong agar orang lain mentertawakannya, celakalah dia, celakalah dia. - [HR Ahmad 19200].

5. Dilarang menakutkan orang lain

Gurauan sebegini sudah sinonim dalam budaya masyarakat kita dan akan mendapat perhatian. Tetapi gurauan sebegini merupakan satu gurauan yang ditegah dalam Islam kerana boleh menyebabkan keburukkan kepada orang lain.

Sabda Baginda Rasulullah: Tidak halal bagi seorang muslim menakut-nakutkan sesama saudaranya yang muslim. - [HR Abu Daud 4351].

Maka berpada-padalah dalam bergurau-senda dan Baginda Rasulullah ingatkan bahawa banyaknya ketawakan menyebabkan hati seseorang itu mati.

Sabda Baginda Rasulullah: Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati. [HR Ibnu Majah 4183]

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain