suria

Peperangan Palestin dan zionis adakah ia tanda kiamat sudah hampir?

Serangan udara dilakukan pihak Israel ke bandar Gaza.

HARI Kiamat merupakan salah satu daripada rukun Iman, wajib untuk mempercayainya bagi setiap umat Islam.

Adalah menjadi tanggung jawab kita untuk sentiasa melakukan amal soleh dalam apa juga keadaan. Ini kerana Hari Kiamat tidaklah diketahui oleh sesiapa melainkan Allah seperti mana di sebutkan dalam Surah Luqman ayat ke 34: Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang Hari Kiamat.

Peperangan yang meletus antara rakyat Palestin dan tentera Zionis pada masa sekarang menyebabkan ramai yang mengatakan bahawa ia merupakan salah satu tanda-tanda kiamat yang akan berlaku seperti mana dalam sebuah hadis.

Sabda Baginda Rasulullah: Tidak akan terjadi Hari Kiamat hingga kalian memerangi orang Yahudi, sehingga akan berkata batu yang di belakangnya ada orang Yahudi: Hai Muslim! Ini Yahudi di belakangku, bunuhlah dia. - [HR Bukhari 2709].

ARTIKEL BERKAITAN: Sifat pengecut Yahudi dirakam dalam Al-Quran, bangsa ini tidak akan hidup aman! Doa senjata paling ampuh untuk bantu umat Islam Palestin

Kata para alim ulama, hadis ini adalah hadis yang umum dan tidak menunjukkan pada peperangan di Palestin sahaja yang menentang Yahudi dan kita juga tidak boleh menentukan sama ada peperangan kali ini merupakan maksud hadis atau bukan.



Kemusnahan yang berlaku di Gaza akibat dibedil bom oleh pihak Zionis.

Apa yang berlaku iaitu peperangan antara Palestin dan Zionis telah terjadi beberapa kali. Maka menjadi satu kewajipan kita untuk terus membantu dan menyokong saudara kita di sana.

Bagi mereka yang sentiasa sibuk meramalkan bila terjadinya kiamat dengan pelbagai teori dan konspirasi maka perlu dihentikan dengan segera lebih-lebih lagi ia adalah andaian-andaian yang terpesong dari Al-Quran dan Sunah.

Firman Allah di dalam Surah Toha ayat 5: Sesungguhnya Hari Kiamat itu tetap akan datang (yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan.

Oleh yang demikian apa yang berlaku hari ini merupakan ujian dan peringatan Allah kepada kita supaya kita kembali kepadanya dengan keinsafan dan bertaubat serta mengikut segala perintah Allah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ada beberapa perkara yang perlu kita insafi dan muhasabah diri dengan apa yang berlaku ketika ini antaranya ialah:



Al-Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam.

1. Dakwah semakin dipinggirkan

Kerja-kerja dakwah merupakan kerja yang perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam. Ini kerana Allah memuji kita bahawa kita merupakan umat yang terbaik disebabkan kerja dakwah yang sentiasa dilakukan.

Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 110: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Kerja-kerja dakwah perlu dimulakan dengan segera agar manusia kembali kepada Allah. Segala apa yang berlaku hari ini adalah disebabkan kelalaian dan kecuaian kita sendiri. Alasan yang selalu digunakan adalah tidak mahu menjaga tepi kain orang maka dakwah ditinggalkan. Oleh sebab itu akan berleluasalah maksiat di atas muka bumi Allah.

2. Melakukan dosa dan maksiat

Apabila meninggalkan dakwah maka maksiat akan bermaharajalela. Pada hari ini dosa apa yang umat Islam tidak lakukan? Dosa seperti perbuatan kaum Nabi Luth yang mana seseorang itu mendatangi sesama jantina juga berleluasa pada masa kini. Mengaku diri tuhan dan nabi juga ada kewujudannya. Hiburan yang melampau dengan mendedahkan aurat juga bersepah di laman sosial.

Sabda Baginda Rasulullah: Pasti akan datang kepada umatku, sesuatu yang telah datang pada Bani Israil seperti sejajarnya kasut dengan kasut, sehingga apabila di antara mereka (Bani Israil) ada orang yang menggauli ibu kandungnya sendiri secara terang terangan maka pasti di antara umatku juga ada yang melakukan demikian. - [HR Tirmizi 2565].

Kita hari ini menyatakan kebencian kepada Israel tetapi perangai, perbuatan dan segala bentuk tingkah laku mereka telah menjadi ikutan kita sehingga meninggalkan ajaran Al-Quran dan Sunah Baginda Rasulullah.

Ayuh kita terus berdoa untuk semua saudara kita di Palestin.

3. Saling bergaduh sesama Islam

Lihatlah apa yang terjadi pada umat Islam masa kini yang saling bercakaran antara satu sama yang lain. Tidak ada kata sepakat dan masing-masing memikirkan kehidupan dan keperluan peribadi sahaja. Dari sekecil-kecil pergaduhan melibatkan pemilihan ahli jawatankuasa masjid sehinggalah pergaduhan dalam memerintah negara.

Berbeza pendapat tidaklah menjadi kesalahan tetapi kita perlu merapatkan saf apabila melibatkan hal berkenaan kepentingan umat Islam keseluruhan. Apa yang berlaku pada waktu sekarang perlulah semua insafi.

Sabda Baginda Rasulullah: Sesungguhnya Bani Israil terpecah menjadi tujuh puluh dua golongan dan umatku akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan semuanya masuk ke dalam neraka kecuali satu golongan, para sahabat bertanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka adalah golongan yang mana aku dan para sahabatku berpegang teguh padanya (Al-Quran dan Sunah). - [HR Tirmizi 2565].

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa bersedia untuk menghadapi saat-saat hari Kiamat dengan amalan-amalan soleh. Ini kerana, tidak ada yang dapat menyelamatkan kita daripada segala fitnah dan ujian ini melainkan dengan iman.

Akhirnya, semoga Allah memelihara dan mengekalkan iman kita agar kita tergolong daripada kalangan hamba-hambaNya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain