MENJAMU selera di restoran yang menerima pengiktirafan bintang Michelin dianggap sebagai satu pengalaman menjangkaui deria rasa. Ia sebenarnya merangkumi pengalaman keseluruhan yang ditawarkan oleh pasukan tukang masak terhebat dalam suasana serba mewah dan berbeza. Maka tidak hairanlah jika harga untuk menikmati hidangan di restoran-restoran ini boleh mencecah sehingga ribuan ringgit. Berikut kami kongsikan senarai restoran bintang Michelin yang paling mahal sepanjang tahun lalu. 1. Sazenka, Tokyo Restoran ini menggabungkan teknik kulinari Cina dengan estetik Jepun, menghasilkan menu yang harmoni serta mewah. Harga per pax: AS$645 (RM2,887) 2. Guy Savoy, Paris Dikenali dengan persembahan seni dan rasa yang kaya, Guy Savoy mentakrifkan semula masakan Perancis dengan hidangan istimewa seperti sup artichoke dan brioche truffle hitam. Harga per pax: AS$715 (RM3,201) Restoran Guy Savoy terletak di Paris. -Foto Instagram 3. Alchemist, Copenhagen Satu pengalaman kulinari eksperimental yang menggabungkan seni dan sains. Alchemist mempersembahkan 50 hidangan yang mencabar konsep makan konvensional. Harga per pax: AS$760 (RM3,402) 4. Quince, San Francisco Menyediakan pengalaman makan bertaraf tiga bintang Michelin. Quince menyajikan masakan bermusim dari California dengan fokus pada inovasi dan kelestarian, diiringi dengan wain yang mewah. Harga per pax: AS$795 (RM3,559) Quince merupakan salah satu restoran yang menerima pengiktirafan bintang Michelin. -Foto Instagram 5. Azabu Kadowaki, Tokyo Dikenali dengan hidangan yang diinspirasikan daripada truffle putih, restoran ini menggabungkan teknik tradisional Jepun dengan gaya kontemporari untuk pengalaman gourmet yang unik. Harga per pax: AS$935 (RM4,186) 6. Masa, New York Syurga bagi pencinta sushi, Masa menawarkan hidangan omakase yang direka dengan bahan terbaik, menyuntik elemen mewah dalam masakan tradisional Jepun. Harga per pax: AS$950 (RM4,253) Hidangan mewah yang disajkan di Caviar Russe. -Foto Instagram 7. Caviar Russe, New York Menu 11 hidangan ini meraikan pelbagai jenis kaviar terbaik, memberikan pengalaman makan mewah untuk pencinta hidangan premium. Harga per pax: AS$975 (RM4,365) 8. Ultraviolet by Paul Pairet, Shanghai Menggabungkan pengalaman makan dramatik dengan visual yang menarik. Menu berinspirasikan Perancis ini menawarkan pengalaman kulinari yang tiada tandingan dalam suasana serba unik. Harga per pax: AS$1,230 (RM5,506) 9. Ginza Kitafuku, Tokyo Pengalaman makan eksklusif yang menampilkan ketam Echizen Kiwami yang mahal dan terkenal dengan dagingnya yang lembut. Hanya ditangkap di pesisir Kyoto, sekali gus menawarkan kemewahan sebenar di atas pinggan. Harga per pax: AS$2,130 (RM9,536)