ROTI canai merupakan hidangan sarapan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia sejak dulu sehingga kini. Lazimnya roti canai dicicah dengan kuah kari atau kuah dhal. Namun, ramai juga yang suka mencicah roti canai dengan susu pekat manis, sardin, sambal atau sekadar dengan gula. Di TikTok, tular video memaparkan seorang pelancong dari Indonesia yang mencicah roti canai dengan teh tarik ketika bersarapan. Menjengah ke ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa terkejut kerana tidak pernah melihat roti canai dicicah dengan minuman. Roti canai biasanya dinikmati bersama kuah kari dan dhal. Walaupun dianggap pelik oleh majoriti penonton, terdapat beberapa individu yang mengakui mereka juga melakukan perkara sama. "Tergamam aku pukul 3 pagi tengok budak tu cicah roti canai dengan teh tarik. "Dah kenapa pergi celup roti canai dengan teh tarik? "Tak pelik pun. Ramai je buat macam tu. Saya pernah cicah teh tarik, kawan cicah dengan Milo "Macam atok aku makan roti canai cicah teh tarik weh," tulis beberapa netizen. Di ruangan komen, seorang warga tempatan turut mencadangkan orang ramai agar mencicah roti canai dengan kuah sup mi segera, terutamanya yang berperisa kari. Antara menu lain yang boleh dicicah dengan roti canai adalah ayam masak merah, rendang ayam atau daging dan juga sambal kicap.