suria

Bukan ikan patin je, Temerloh pun ada kedai kopi vintaj... Sekali datang Warong Selai, pasti terkenang-kenang eggtart istimewa

Warong Selai menjadi tarikan baru di Temerloh.

MELANGKAH masuk ke kafe kecil ini, halwa telinga disapa dengan lagu-lagu era 80an dan 90an.

Sementara itu, mata penulis juga tidak lepas memerhatikan setiap sudut kafe yang dipenuhi dengan barang-barang antik atau vintaj.

Mungkin konsep kafe vintaj ini agak familiar di ibu kota, namun di bandar Temerloh, Pahang, Warong Selai adalah pelopor bagi kafe yang mengetengahkan konsep sedemikian.

selai 5

Hampir 90 peratus barangan Warong Selai menggunakan barang 'recycle'.

Terletak di tepi Jalan Maran-Temerloh, Pahang, Warong Selai ini diusahakan oleh Rohamat Kamal Mustafa, 43, bersama isterinya, Khalina Kamarumtham, 35, sejak tahun 2017.

"Idea untuk menghasilkan kafe ini sebenarnya didorong oleh hobi saya bersama isteri. Sewaktu kami menetap di Kuala Lumpur, kami berdua gemar 'cafe hopping'. Pantang ada kafe baru, mesti nak try.

"Bila dah minat, terdetik perasaan teringin nak ada kafe sendiri. Kami kongsi minat barang vintaj, suka hiasan dalaman dan minat memasak. Malah memang kami dah lama ada koleksi barangan vintaj sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Santan AirAsia perkenal nasi lemak bungkusan baharu! Bentuk piramid, senang nak makan... harga pun OK

"Hujung minggu, kami akan memasak, buat table setting, ambil gambar dan muat naik di media sosial. Daripada situ, followers bagi komen positif. Mereka cadangkan idea itu diterjemahkan... itu yang tercetus nak buka kafe ini," ujarnya yang merupakan seorang peguam.

Nekad mahu merealisasikan impian yang dibina sekian lama, pasangan ini berhijrah ke Temerloh iaitu kampung bapa mentua Rohamat Kamal.

selai 2

Hidangan yang pasti membuatkn pengunjung jatuh cinta.

Sebagaimana idea asal, menurut Rohamat Kamal, hampir 90 peratus bahan binaan menggunakan bahan 'recycle' dan diserikan dengan barangan antik dan vintaj.

"Nama Warong Selai itu juga ada signifikan yang tersendiri. Kita letak 'Warong' kerana kita tak mahu orang meletakkan 'high expectation' seperti kafe-kafe yang lain. Harga makanan pun harga 'warung'... harga yang affordable.

"Manakala nama Selai ini, ia adalah nama lokasi ladang di Johor. Kalau ikutkan, misi kami nak expand nama Selai ini macam jenama Sekeping. Ada kafe, penginapan... Itulah impian kami jika ada rezeki satu hari nanti," ujarnya.

Menurut Rohamat Kamal, sepanjang hampir lima tahun mengusahakan Warong Selai, pelbagai onak dan duri sudah ditempuhi namun itu bukanlah alasan untuk menyerah kalah.

selai 3

Antara menu signature Warong Selai.

Selepas beberapa kali terpaksa menukar waktu operasi, lokasi dan menu yang disajikan, akhirnya Warong Selai mula dikenali ramai sekitar penghujung 2020, selepas perkongsiannya di laman sosial menjadi tular.

"Alhamdulillah, Warong Selai kini tersenarai sebagai salah satu destinasi pilihan oleh Tourism Pahang. Rasa berbaloi beralih minat kepada bisnes kafe dan berbaloi selepas apa yang dilalui sebelum ini," katanya lagi.

Lebih mengujakan dan menaikkan semangat, Rohamat Kamal berkata rata-rata pengunjung yang datang ke Warong Selai bukan sekadar mahu merasai pengalaman kafe vintaj semata-mata, tetapi mencari hidangan signatur mereka iaitu tat telur (eggtart).

Kalau ikutkan, misi kami nak expand nama Selai ini macam jenama Sekeping. Ada kafe, penginapan... Itulah impian kami jika ada rezeki satu hari nanti.

ROHAMAT KAMAL

PEMILIK WARONG SELAI

"Isteri saya, seorang bekas pegawai bank. Dia berhenti kerja dan mengikut kelas membuat croissant dan pastri. Ketika masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebab terlalu banyak masa, dia lakukan Research dan Development (R&D) sendiri.

"Saya dengan adik ipar yang selalu jadi mangsa tukang rasa setiap apa yang dia buat. Memang berpuluh-puluh kali cuba hinggalah dapat eggtart yang rasanya sedap macam sekarang.

"Memang permintaan terhadap eggtart luar biasa. Memandangkan hanya isteri saya sahaja buat, maka ia dapat dihasilkan dalam kuantiti yang terhad. Selain dijual di Warong Selai, eggtart itu juga mendapat pesanan di Lembah Klang.

selai 4

Rohamat Kamal dan isterinya sedang melayani pengunjung Warong Selai.

"Kalau hari minggu, sebelum pukul 11 pagi lagi dah sold out. Memang penangannya luar biasa. Rata-ratanya beritahu tak pernah rasa eggtart yang enak selain di sini. Siap tapau kalau datang," ujarnya.

Selain eggtart, Warong Selai menyajikan beberapa jenis pencuci mulut yang lain seperti kek dan pastri.

Bagi yang ingin menikmati makanan berat, menu yang disediakan terdiri daripada nasi kerabu, nasi lemak, spageti bolognese, kacang pool dan sarapan ala Inggeris.

Menariknya, kesemua menu termasuk kek dan pastri adalah 100 peratus air tangan pasangan suami isteri ini.

Bagi yang merancang untuk berjalan-jalan ke Temerloh, Warong Selai adalah lokasi wajib dalam senarai itinerari anda!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain