suria

Kluang Rail Coffee diiktiraf kopitiam kereta api tertua di Malaysia... Teringat-ingat kopi dan roti bakar, sedap!

Kluang Rail Coffee terus kukuh selama 84 tahun. foto AZHAR MAHFOF /The Star

TAK perlu makanan fancy, hanya secawan kopi dan sekeping roti bakar sudah cukup memberi pengalaman yang mengasyikkan.

Terletak di tepi landasan kereta api, kedai kopi di Kluang, Johor ini ternyata menggamit nostalgia.

Siapa sangka Kluang Rail Coffee atau dikenali Kedai Kopi Keretapi kini menyambut ulang tahun perniagaannya yang ke-84.

Ia sekali gus menyaksikan jenama ini meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai kopitiam kereta api tertua di Malaysia (the oldest railway kopitiam in Malaysia).

Kluang Rail Coffee 6

Kluang Rail Coffee mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Kluang Rail Coffee diasaskan oleh Lim Luan Hee pada 1938 dan beroperasi di Jalan Stesen, Kluang dengan hanya satu kati gula dan beberapa tin susu.

Bermula sebagai sebuah kantin, ia menyediakan perkhidmatan kepada para penduduk dan kakitangan pejabat kerajaan pada zaman itu.

Pada masa itu, kereta api merupakan tulang belakang kepada rangkaian pengangkutan dan komunikasi di Tanah Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Roti bakar enak, kaya sejarah... ruginya kalau ke Johor tapi tak singgah Kluang Rail Coffee

Dibina pada 1909, kedudukan kereta api Kluang begitu strategik kerana terletak berdekatan dengan balai polis, pejabat pos, hospital dan pejabat pentadbiran kerajaan.

Menghidangkan sarapan dan secawan kopi seawal pukul 6.30 pagi, kantin ini cukup memberi keselesaan dan begitu popular.

Ia kemudian berkembang menjadi kopitiam atau kedai kopi pertama di Kluang di bawah kendalian anak Luan Hee, Lim Heng Yong dan legasi diteruskan oleh cucunya, Lim Jit Chen.

Kluang Rail Coffee 7

Kluang Rail Coffee terletak di tepi landasan kereta api.

Mengimbas kembali zaman mudanya, Jit Chen atau Jack berkata, evolusi masakan Hainan sangat dipengaruhi oleh cita rasa Inggeris dan Asia.

"Sebagai contoh, orang Inggeris menikmati roti bakar dan jem untuk sarapan. Pada masa itu (Perang Dunia Kedua) jem diimport dan mahal. Malah mentega sangat mewah.

"Oleh itu, sarapan tempatan dikembangkan dengan roti bakar bersama mentega dan kaya (jem telur kelapa). Bagaimanapun, telur separuh adalah sajian tambahan Asia yang unik," ujarnya.

Kluang Rail Coffee terkenal dengan kopi tradisional Hainan (diperbuat daripada kacang Liberica yang ditanam) dan roti bakar dihidangkan dengan mentega dan kaya.

Kluang Rail Coffee juga menyaksikan momen penting sejarah negara daripada tahun-tahun awal Perang Dunia kedua dan Kemerdekaan, hingga zaman darurat Tanah Melayu.

Walau bagaimanapun, perniagaannya tidak pernah goyah dalam komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan makanan mampu milik kepada masyarakat setempat.

Kopitiam juga merupakan simbol budaya yang kukuh daripada segi keterangkuman, berkembang dari semasa ke semasa untuk memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia.

"Nasi lemak bungkus yang dibuat oleh orang Melayu tempatan adalah contoh yang bagus untuk ini," tambah Jit Chen sambil menambah bahawa Kluang Rail Coffee mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kluang Rail Coffee 3

Kopi dan roti bakar adalah menu popular di Kluang Rail Coffee.

Menurutnya, perniagaan akan berkembang mengikut peredaran masa, tetapi kaya warisannya seharusnya dihormati dan dicerminkan dalam perkhidmatan kepada masyarakat.

"Kluang Rail Coffee merupakan apa yang kami suka digelar sebagai 'rail born' dan betul-betul kopitiam Malaysia yang sejati.

"Ia merupakan cawangan yang menghimpunkan ramai rakyat Malaysia bersama-sama dengan begitu banyak kisah sejak 84 tahun lalu sambil minum secawan kopi.

"Bukan sekadar minuman atau makanan, tetapi ia juga memberi pengalaman dan ikatan yang dicipta dalam kalangan pelanggan kami," katanya.

Pada 2008, Jit Chen dan sepupunya, Lim Jit Tong berganding bahu membangunkan bisnes dengan memperkenalkan menu tempatan dan antarabangsa yang lebih meluas.

Kluang Rail Coffee kini mengendalikan empat cawangan di Kluang melibatkan lebih 70 pekerja tempatan berkemahiran tinggi, di mana tiga lagi premis di Jalan Duku, Jalan Tasik dan Sri Impian, kesemuanya di Kluang.

Kluang Rail Coffee 5

Kopitiam Kluang Rail Coffee sentiasa menerima kunjungan pelanggan.

Hari ini, stesen kereta api baharu telah dibina di Kampung Masjid Lama untuk menyokong keperluan pengangkutan penduduk tempatan yang lebih baik, manakala stesen lama kekal sebagai bangunan warisan dan Kluang Rail Coffee komited terhadap reputasi mercu tanda itu sebagai tarikan sejarah popular dalam kalangan pelancong di Kluang.

Melangkah ke hadapan, pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records akan menjadi landasan yang kukuh untuk pengembangan Kluang Rail Coffee pada masa depan.

Pengarah Kluang Rail Coffee Sdn Bhd, Lim Jit Tong berkata, pengiktirafan yang diterima ini merupakan hasil sokongan menggalakan dan berterusan daripada penduduk Kluang.

"Mereka sama-sama berhak meraikan pengiktirafan Malaysia Book of Records ini. Ia merupakan salah satu rahsia Kluang yang disimpan dengan baik sejak 84 tahun lalu.

"Seterusnya bukan sahaja membawa jenama dan citarasa ke negeri-negeri lain, tetapi juga mempromosikan Kluang sebagai tarikan pelancong yang wajib dikunjungi," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain