suria

Floating Market Melaka ‘sendu’... Peniaga luah rasa kecewa, pengunjung tak tahan sungai busuk

Tangkap layar video menunjukkan suasana suram pasar terapung di Melaka.

SEBUT sahaja pasar terapung, pasti kita akan terbayangkan suasana meriah di Thailand dengan sampan-sampan kecil dipenuhi pelbagai barangan jualan.

Kini konsep unik ini turut diperkenalkan di Melaka dengan menawarkan pengalaman membeli-belah sambil menikmati panorama indah di sungai.

Dengan keistimewaannya yang tersendiri, pasar terapung bukan sahaja menjadi pusat perniagaan bagi peniaga tempatan mencari rezeki malah turut menarik perhatian pelancong yang berkunjung ke bandaraya bersejarah ini.

Oleh itu, orang ramai tidak perlu lagi melancong ke luar negara untuk merasai pengalaman tersebut.

Bagaimanapun, timbul satu isu apabila seorang peniaga wanita meluahkan rasa kecewa kerana perniagaan di Melaka Floating Market dan Windmill Pink Market yang terletak di Kampung Pengkalan Rama Pantai kurang mendapat sambutan.

Dalam video yang dikongsikan melalui akaun media sosial @karinaknag, dia mendakwa suasana di pasar terapung itu suram tanpa kehadiran pelanggan disebabkan ramai peniaga tidak membuka gerai masing-masing.

Seorang peniaga kecewa apabila rakan-rakan lain menutup perniagaan.

Menurutnya, dalam masa sama dia turut bersimpati dengan peniaga lain yang 'setia' membuka gerai setiap hari walaupun jumlah pelanggan tidak begitu memberangsangkan.

Dalam video berkenaan, dapat dilihat hanya segelintir peniaga yang berniaga manakala deretan gerai berbentuk bot terapung di sungai Melaka itu dibiarkan kosong tanpa sebarang aktiviti perniagaan.

"Floating Market boat, kasihan peniaga yang hari-hari buka macam saya. Sudah bersuara dalam group (kumpulan WhatsApp) minta peniaga bagi kerjasama buka tapi kena marah.

"Tak nak berniaga tak payah la ambil harga pakej yang murah. Pihak pengurusan kena buat sesuatu. Kalau tidak, tempat ni tak akan bertahan lama," ujarnya dalam hantaran berkenaan.

Sementara itu, akaun TikTok Melaka Floating Market, yang dipercayai dikendalikan oleh pihak pengurusan pasar terapung tersebut, tampil memberikan penjelasan mengenai situasi yang berlaku.

Menurut kenyataan yang diberikan, kerja=kerja pembinaan jambatan menuju ke Melaka Floating Market sedang dilakukan, menyebabkan laluan masuk ke kawasan itu ditutup buat sementara waktu.

image (22)

Komen netizen di media sosial.

“Kami memohon maaf dan berharap agar pengunjung akan merancang lawatan (ke pasar terapung) selepas ia siap,” tulisnya.

Di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberikan pelbagai reaksi setelah menonton video berkenaan.

Ada yang mencadangkan agar pasar terapung itu dipindahkan ke lokasi yang lebih strategik dan sering dikunjungi pelancong.

Selain itu, terdapat juga netizen yang mendakwa air sungai di kawasan tersebut berbau busuk menyebabkan mereka tidak berminat untuk berkunjung ke sana.

"Air sungai tu busuk macam mana pelanggan nak makan dengan bau macam tu ya.

"Tak sesuai keluarga datang situ. Lagi-lagi anak-anak yang lasak. Naya je nanti masuk dalam air. Buat la palang (penghadang) ke apa. Terbuka macam tu memang bahaya.

"Masa waktu pembukaan saya sudah pergi. Bukan nak cakap apa la tapi itu la pertama dan terakhir kali saya pergi. Dengan 'sendu'nya... air sungai berbau. Tak lama lagi terbengkalai la macam tempat-tempat sebelum ni," komen beberapa netizen.

Artikel Lain