suria

Cantik, berseni dan eksklusif! Ini 2 penginapan 'Instagramable' patut anda cuba di Langkawi

Setiap sudut menjanjikan keindahan terutama kepada 'kaki gmbar'.

PULAU Langkawi di Kedah pastinya menjadi pilihan utama bagi mereka yang gemar melancong dan meneroka.

Meskipun berulang kali telah berkunjung ke sana, kebanyakan kaki travel merasakan diri mereka tidak pernah puas kerana pulau lagenda yang mempunyai sejarah tersendiri ini dikelilingi keindahan alam yang membuatkan pelbagai aktiviti boleh dilakukan.

Sebagai seorang pengembara yang merindukan destinasi popular itu, saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dari segi aktiviti mahupun tempat penginapan.

Maklumlah, sudah dua tahun tidak berpeluang ke sana disebabkan penularan wabak Covid-19.

Seni dan penginapan

Penginapan kali ini saya mahukan sesuatu yang unik, moden dan bertemakan seni.

Carian di internet berakhir apabila saya menemui dua penginapan yang berjaya menarik perhatian saya iaitu ArchStudio Cenang dan S’ekar Pinang. Penginapan pertama saya di Langkawi ialah Arch Studio Cenang. Jika anda mahukan tema industrial moden inilah tempatnya!

Terletak di Pantai Cenang, anda boleh memilih tujuh jenis bilik penginapan yang bersesuaian dengan keperluan antaranya Junior Studio, Family Studio dan Queen Studio.

Lukisan yang dipamerkan menambah nilai estatika di Arch Studio 1.

Lukisan yang dipamerkan menambah nilai estetika di Arch Studio 1.

Bagi mereka yang gemar bergambar, setiap bahagian di Arch Studio Cenang membolehkan anda bergaya untuk paparan sosial media.

Namun sekiranya anda mencari penginapan bajet, Arch Studio juga menyediakan penginapan untuk backpakers dikenali sebagai Arch Dormitorio Cenang.

Sesuai dengan pengembara muda, ruang umum disediakan agar penginap dapat berkenalan antara satu sama lain.

Penginapan kedua saya pula tidak jauh dari Pantai Cenang lebih kurang 15 minit memandu tetapi dari jalan utama anda perlu memasuki lorong kecil dan memandu di tepian sawah.

Pada mulanya saya meragui ada penginapan di kawasan sawah padi ini dan menyangkakan saya tersesat, namun, setelah beberapa minit melalui jalan kecil di tepi sawah akhirnya saya tiba di S’ekar Pinang.

Dikelilingi oleh kehijauan semulajadi lokasinya agak tersembunyi namun ia memberikan rasa yang cukup eksklusif.

Rumah penghulu S'ekar Pinang menjanjikan suasana eksklusif dan mewah.

Rumah penghulu S'ekar Pinang menjanjikan suasana eksklusif dan mewah.

Jika anda penggemar seni seperti saya anda juga akan terpukau dengan lukisan-lukisan yang tergantung di dinding vila dan chalet kerana semuanya merupakan koleksi pelukis tempatan dan sekitar Asia Tenggara.

Bertambah teruja apabila saya diberitahu penginapan ini menyediakan kolam renang air masin yang semestinya mempunyai khasiat terapi kerana binaannya juga dibuat dari batuan Sukabumi.

Penginapan ini juga dikelilingi daun-daun herba yang ditanam di sekitar kawasan. Bahkan makanan yang disediakan juga diambil dari daun-daun herba ini.

Santai di Langkawi

Sering saya melihat di media sosial aktiviti cruise yang dilakukan oleh mereka yang melancong ke Pulau Langkawi maka saya pun mengambil keputusan untuk mencubanya.

Aktiviti Sunset Cruise Avante Holiday sangat mengasyikkan. Berbeza dengan pakej cruise yang lain, anda bakal dihiburkan oleh persembahan muzik secara live di atas cruise.

Antara yang menarik di Paradise 101 dan sunset cruise.

Antara yang menarik di Paradise 101 dan sunset cruise.

Perjalanan selama dua jam yang bermula dari pukul 4.30 petang, anda akan dibawa mengelilingi pulau-pulau sekitar di samping menikmati juadah barbecue yang disediakan.

Bersesuaian dengan namanya, kemuncak perjalanan anda adalah menyaksikan matahari terbenam di Pulau Langkawi. Cukup cantik.

Aktiviti kedua saya ialah ke Paradise 101. Pulau buatan ini pada asalnya bertujuan menjadi penghalang ombak namun kini menjadi tumpuan pelancong untuk beriadah bersama keluarga.

Hanya lebih kurang 10 minit perjalanan dengan menaiki bot dari Jeti Telaga Harbour pelbagai aktiviti disediakan antaranya berkayak, jet ski, island hopping dan sebagainya.

Terdapat juga pelbagai lokasi di pulau buatan ini yang direka khas untuk sesi bergambar.

Tidak pernah bosan dengan Pulau Langkawi, banyak lagi sebenarnya tempat dan aktiviti yang masih belum diterokai. Mungkin selepas ini aktiviti saya adalah ‘food hunting’ pula.

Yang pasti, saya akan ke Pulau Langkawi lagi!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain