suria

Bijak tarik pelancong... Bangkok rancang buka muzium, kuil sampai lewat malam

Bangkok rancang membuka waktu operasi muzium dan kuil sehingga lewat malam. Foto: Mladen ANTONOV/ AFP.

APABILA melancong ke negara orang, kita harus bijak merancang perjalanan.

Ada sesetengah tarikan hanya dibuka pada siang hari, namun sesetengah lokasi lain pula hanya meriah pada sebelah malam.

Terbaharu, beberapa tarikan terbesar di Bangkok akan dibuka sehingga waktu malam demi merancakkan lagi kedatangan pelancong ke negara Thailand.

Gabenor ibu kota Thailand, Chadchart Sittipunt, berkata lokasi seperti muzium dan kuil di sepanjang Sungai Chao Phraya perlu dilanjutkan waktu operasi sehingga ke waktu malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Lokasi paling Insta-worthy di Hanoi, 'Train Street' kembali meriah selepas 3 tahun sunyi tanpa pelancong

Pada masa ini kuil seperti Wat Arun (Temple of Dawn) atau Wat Pho (Temple of the Reclining Buddha) yang terkenal ditutup pada pukul 6 petang, manakala kebanyakan muzium akan ditutup sebelum malam.

"Mengekalkan tarikan pelancong untuk terus dibuka sehingga waktu malam akan membawa banyak faedah.

"Cuaca waktu malam juga tidak sepanas waktu siang, yang sudah pasti akan meningkatkan mood pengunjung," ujarnya kepada Bangkok Post.

Selain itu, lalu lintas trafik juga lebih lancar pada waktu malam, sekali gus memudahkan pelancong untuk melawat kuil-kuil dan muzium.

Chadchart juga sedang memikirkan kerjasama dengan Venice untuk dijadikan sebagai bandar rakan kongsi Eropah.

“Bangkok mempunyai banyak laluan air dan dikenali sebagai Venice of the East. Kerajaan bandar boleh belajar banyak daripada rancangan pengurusan air bandar Itali," ujarnya lagi. - DPA.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain