suria

Tak susah jika OKU berkerusi roda nak melancong... Bekas atlet paralimpik buat solo trip dari Ipoh ke Bangkok naik train

Firdaus hanya membawa wang RM600 yang ditukar ke mata wang Thailand dalam pengembaraan solo itu.

BEKAS atlet tenis paralimpik, Firdaus Ibrahim mencuri perhatian netizen apabila berkongsi kisah perjalanannya menaiki kereta api dari Malaysia ke Thailand.

Firdaus, 31, memulakan pengembaraan solo dengan menaiki Electric Train Service (ETS) dari Ipoh, Perak pada Jumaat sebelum tiba di Padang Besar, Perlis pada 4.30 pagi, Jumaat lalu.

Setibanya di Padang Besar, Firdaus kemudiannya menaiki tren berlainan ke Hat Yai dan meneruskan lagi perjalanannya seelum tiba ke Bangkok pada Sabtu tengah hari.

fi2

Pengembaraan solo Firdaus bermula pada Jumaat lalu.

"Pada hari Jumaat, saya naik ETS dari Ipoh pada pukul 1 pagi. Dengan tiket berharga RM36 untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), saya tiba di Padang Besar dalam 4.30 pagi.

"Next trip, saya bertolak dari Padang Besar ke Hat Yai pada pukul 10 pagi. Harga tiket sangat murah, RM7 sahaja. Saya akhirnya sampai ke Hat Yai dalam pukul 2 petang.

"Sejurus tiba, saya terus beli tiket tren seterusnya untuk ke Bangkok. Saya bertolak pada pukul 5.45 petang, mengambil masa 19 jam sebelum tiba di Bangkok pada pukul 12 tengah hari Sabtu," ujarnya.

fir9

Kata Firdaus, status sebagai OKU tidak menjadi penghalang untuk dia melakukan pengembaraan solo.

Menurut Firdaus, dia melalui perjalanan yang agak lancar biarpun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda, malah dia bersyukur apabila kerap dibantu orang sekeliling.

Biarpun sudah berumah tangga, Firdaus berkata dia juga seronok apabila sesekali dapat melancong sendirian, sekaligus memberikan pengalaman baharu buatnya.

"Kakitangan tren sangat membantu. Di Thailand, saya naik MRT dan BTS secara percuma. Walaupun bukan local, saya dapat naik percuma sebab berkerusi roda. Kakitangan tren pun banyak membantu.

fir3

Ini merupakan kali pertama Firdaus pergi ke Thailand bersendirian menaiki kereta api.

"Walaupun sendirian, saya tiada masalah. Saya tak anggap berkerusi roda sebagai kekangan. Saya memang suka travel sendirian walaupun berkerusi roda dan dah berkahwin.

"Apabila sendirian, ia memberikan saya pengalaman yang sukar dijelaskan. Dulu masa jadi atlet kebangsaan pun, saya dah biasa travel sendirian untuk pergi pertandingan," ujar Firdaus yang mendapat sokongan penuh isterinya untuk melakukan pengembaraan solo.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita kongsi 14 tip lengkap travel dari KL ke KB naik ‘jungle train’, paling penting jangan tidur selepas Subuh

Menurut Firdaus, dia bukanlah seorang food hunter, sebaliknya mahu memanfaatkan masa di sana untuk mencari pengalaman dan mengenali diri sendiri dengan lebih dekat.

Kata Firdaus, dia turut merancang untuk melakukan pengembaraan solo menaiki kereta api ke Vietnam atau Kemboja pada masa akan datang.

fir6

Antara foto dan informasi yang dikongsi oleh Firdaus menerusi media sosial.

"Sebelum ini saya pernah buat solo trip ke beberapa kawasan di Thailand dan Taiwan. Tapi sebelum ini saya pergi dengan pesawat. Kiranya ini kali pertama saya solo trip naik kereta api.

"Saya juga tak stay di hotel yang sama. Saya transit dan berpindah hotel ikut kawasan yang saya kunjungi. Daripada segi kos pun agak berpatutan, saya hanya tukar RM600 sahaja untuk ke sana," ujarnya.

Dalam pada itu, Firdaus terharu apabila perkongsiannya mengenai solo trip ke Thailand turut mendapat perhatian ramai di Twitter, khususnya dalam kalangan OKU.

fir5

Pengangkutan awam seperti MRT dan BTS di negara itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada OKU.

"Saya buat perkongsian ini untuk beri contoh kepada OKU lain, supaya mereka berani keluar daripada zon selesa. Dalam thread di Twitter, saya kongsi setiap detail mengenai kemudahan untuk OKU.

"Ramai yang mesej saya. Ibu bapa yang ada anak OKU, guru yang ada pelajar OKU, malah orang normal pun ada bertanya. Mereka ucap terima kasih atas perkongsian itu.

"Ia membuatkan saya lebih teruja untuk buat perkongsian lagi pada masa akan datang," ujarnya yang dijangka pulang ke Malaysia pada Isnin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain