suria

Dari komik ke realiti, Datuk Lat teruja projek rumah 'Kampung Boy' bakal di buka akhir 2020 - "Ia bukan untuk saya tapi masa depan"

The Kampung Boy sedang dibina semula di Batu Gajah, Perak dan akan dibuka kepada pengunjung hujung tahun ini.

MASIH ingat pada rumah dalam komik terkenal The Kampung Boy?

Rumah yang digambarkan dalam komik lukisan Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat sebenarnya wujud dan ia terletak di Batu Gajah, Perak.

Bagaimanapun rumah ikonik itu sudah tiada lagi namun ia sedang dibina semula di sebuah kampung yang terletak kira-kira 30 minit dari tempat Lat membesar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sabar nak travel? Hilangkan rindu bercuti, jom pusing-pusing Kuala Langat

Sepatutnya rumah itu akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada bulan Julai ini, namun penularan wabak Covid-19 ketika ini ia terpaksa ditangguhkan sehingga hujung 2020.

Apabila Rumah Lat dan Galeri dibuka nanti, ia akan memberi gambaran mengenai kehidupan kartunis terkenal itu yang sebelum ini dapat dilihat dalam komik sahaja.



Komik The Kampung Boy cukup ikonik.

Di rumah itu nanti, pengunjung boleh mengimbau kenangan masa lalu lengkap dengan perabot yang kebanyakannya dari era sebelum Perang Dunia Kedua.

Ini termasuk meja solek, meja makan dan kerusi, cermin dan rak almari asal milik keluarga Lat yang digunakan untuk menyimpan rekod ketika usianya 19 tahun.

"Masih ingat lagi, saya akan mengunci almari itu kerana rakan serumah akan menyelongkar piring hitam milik saya dan pakai pakaian saya.

"Almari itu adalah antara barang berharga buat saya ketika itu, malah saya berjimat untuk membeli piring hitam dan pakaian kerana saya percaya perlu kelihatan segak pada usia itu," katanya mengimbau kenangan tentang almari kesayangannya itu kepada The Star.

Lat, 69, memberitahu projek itu adalah sesuatu yang sangat peribadi buat dirinya dan gembira apabila ia turut mendapat sokongan kerajaan negeri Perak dan tidak sabar untuk melihat reaksi pengunjung apabila ia dibuka kelak.



Lat berharap Rumah Lat dan Galeri itu nanti dapat memberi peluang kepada generasi baharu mengenali sejarah dan warisan kampung Melayu.

"Saya lukis rumah itu daripada memori saya untuk The Kampung Boy. Apabila anda berusia sembilan tahun, anda akan ingat semua perkara dengan terperinci dan saya ada kenangan cukup baik pada zaman itu.

"Tiada elektrik, air, tetapi untuk seorang kanak-kanak, ia adalah pengalaman cukup berharga apabila membesar di sebuah kampung," katanya.

Mengimbau kenangan menghasilkan The Kampung Boy yang pertama kali diterbitkan pada 1979, Lat memberitahu semuanya bermula ketika dia berkunjung ke Amerika Syarikat.

Ketika di sana, Lat memberitahu ramai masih tidak mengenali Malaysia dan dia ingin mengubah presepsi itu.

Diilhamkan tentang kisah zaman kanak-kanaknya, komik tersebut menceritakan kisah yang terdapat di kampung dan rumah yang digambarkan adalah kediaman sebenar tempat beliau membesar.

Lat berharap Rumah Lat dan Galeri itu dapat berdiri kukuh untuk jangka masa panjang bagi membolehkan generasi akan datang mengenali sejarah dan nostalgia zaman lalu.

Di galeri pula, ia bakal menempatkan karya selama empat dekad Lat sejak 1964 dan kepada yang mengagumi hasil kerjanya, ini adalah lokasi sesuai untuk dikunjungi nanti.

"Saya cukup teruja untuk memberi orang ramai melihat rumah dan galeri ini. Saya rasa ia akan menjadi tarikan baru kepada generasi muda. Sebanyak mana saya menikmati sepanjang menjayakan projek ini, ia bukan untuk saya tetapi masa depan," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain