suria

Berita baik buat pendaki! Gunung Kinabalu dibuka semula bermula Sabtu tapi ada syaratnya

Gunung Kinabalu akhirnya dibuka semula selepas ia ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

LALUAN pendakian Gunung Kinabalu akan dibuka semula pada Sabtu ini selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Maklarin Lakim bagaimanapun berkata, hanya 100 pendaki dibenarkan mendaki pada satu-satu masa dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Aktiviti pendakian akan dibuka Sabtu ini (16 Mei) termasuk malim gunung juga akan mula bekerja," katanya kepada Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadkan 24,000 pengunjung sehari, Disneyland Shanghai kini dibuka semula... ada syarat perlu dipatuhi!

Beliau berkata, bayaran permit pendakian tetap sama iaitu warganegara Malaysia dikenakan RM50 untuk dewasa dan RM30 bagi yang berumur 18 tahun ke bawah, manakala pelancong asing perlu membayar RM200 untuk dewasa dan RM80 bagi kanak-kanak.



Beberapa syarat perlu dipatuhi termasuk hanya 100 pendaki dibenarkan pada satu-satu masa.

Maklarin berkata, bayaran tambahan sebanyak RM400 akan dikenakan untuk kemudahan penginapan dan makan, bayaran malim gunung RM230 dan insurans RM7.

Bagi menggalakkan lebih ramai pelancong khususnya pelancong tempatan, beliau berkata yuran masuk ke TTS diberikan diskaun 50 peratus selama enam bulan bermula Sabtu ini hingga 16 November depan.

"Mereka yang berminat untuk mendaki boleh membuat tempahan melalui TTS dan menerusi dalam talian apabila sistem itu akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Gunung Kinabalu, Sabah, Covid-19, PKP

Artikel Lain