suria

Bukan biasa-biasa! Warga emas, 2 wanita antara 8 pendaki sertai misi tawan Gunung Aconcagua, puncak tertinggi benua Amerika Selatan

Seramai lapan pendaki dari Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA) menyertai misi menawan puncak Gunung Aconcagua, Argentina.

KUMPULAN lapan pendaki rakyat Malaysia dari Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA) sedang dalam misi menakluk puncak Gunung Aconcagua di Banjaran Andes, Argentina yang mempunyai ketinggian 6,962 meter.

Gunung tersebut tersenarai sebagai puncak tertinggi di benua Amerika Selatan dan merupakan gunung kedua tertinggi di dalam senarai tujuh puncak tertinggi di setiap benua di dunia.

KJA dalam misi menakluk kesemua tujuh puncak tertinggi di setiap benua atau World 7 Summits dan memulakan ekspedisi mereka bersempena 2020 di Gunung Aconcagua menerusi program 'Ekspedisi Malaysia Boleh World 7 Summit 2020'.

Misi pendakian itu diketuai oleh Zainudin Lot yang juga merupakan penasikat KJA dan kumpulan itu berlepas ke Buenos Aires, Argentina dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 30 Disember 2019.

Menurut Presiden KJA, Muhammad IIIaham Ishak, pembabitan lapan pendaki ke Aconcagua merupakan kumpulan terbesar yang menyertai misi tersebut di bawah kelolaan KJA.

Pemandangan indah dari puncak Gunung Aconcagua, Argentina. 

"Misi pendakian ke Aconcagua kali ini membabitkan pendaki yang berpengalaman... Saya yakin walaupun ada yang berusia 48 tahun, 59 tahun dan 60 tahun, tetapi keadaan fizikal dan mental mereka sangat kuat.

"Tambahan pula mereka sebelum ini telah berjaya menawan puncak tertinggi di benua Eropah iaitu Gunung Elbrus pada September lalu," katanya.

Selain Zainudin, 43, misi itu turut disertai oleh Mohamad Ashaziq Abu Bakar, 28, Shaidan Sulaiman, 60, Mazlan Adam, 59, Zulkifli Yusof, 32 dan Mafeitzeral Mamat, 43.

Ekspedisi ini turut disertai dua pendaki wanita iaitu Puan Sri Najatul Haya Razali, 48 dan Arfah Ahmad, 47.

Tidak hanya terhenti di Aconcagua, KJA akan meneruskan misi 'World 7 Summit' mereka ke lokasi lain iaitu Gunung Denali di Alaska pada Jun, Gunung Elbrus, Rusia (Ogos) dan Gunung Kilimanjaro, Afrika pada September 2020.

Menerusi misi ekspedisi ini juga, KJA mengambil inisiatif mengumpul dana untuk misi antarabangsa 'Climb For Peace' iaitu misi kemanusiaan dan bantuan mangsa peperangan di bawah kelolaan Aman Palestin.

Ini adalah pendakian kali kedua ke Aconcagua anjuran KJA selepas empat pendaki berjaya menawan puncak gunung itu pada 2017.

Antara peserta misi mendaki Gunung Aconcagua sebelum berangkat ke Argentina. 

Sementara itu, ketua pendaki Gunung Aconcagua, Zainudin Lot berkata, pendakian ke puncak dijangka mengambil masa selama 12 hingga 15 hari bergantung kepada keadaan cuaca di Banjaran Andes.

Ini kerana kata Zainudin, keadaan cuaca berangin di antara 35 hingga 55 kilometer sejam merupakan salah satu cabaran yang bakal ditempuh pendaki sewaktu pendakian naik dan turun.

"Saya mengharapkan keadaan cuaca di pergunungan Andes baik sepanjang misi pendakian kami dan kami juga berharap seluruh warga pencinta gunung dan rakyat Malaysia mendoakan kejayaan kami semua, Insya Allah," katanya.

Pendakian ke puncak Aconcagua dikategorikan sebagai pendakian secara Alpine iaitu memerlukan kelengkapan seperti Summits Boots dan Crampon.

Pendaki juga dibekalkan alat telekomunikasi Telefon Satelit dan pihak KJA turut menyediakan pusat komunikasi di Malaysia yang akan diselia oleh ahli berpengalaman sepanjang pendakian.

***Jika anda mempunyai pengalaman dan tip pelancongan menarik untuk dikongsi, kirimkan kepada kami di [email protected] 

Artikel Lain