Dengarkan ‘pasir berbisik’ dan hayati keindahan matahari terbit di Bromo - Destinasi | mStar

Dengarkan ‘pasir berbisik’ dan hayati keindahan matahari terbit di Bromo

Pura yang terdapat berhampiran laluan masuk ke Kawah Bromo antara tarikan yang menjadi kenangan.

KEINDAHAN matahari terbit di puncak Gunung Bromo mula menjadi bualan hangat dalam kalangan pengembara Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Gunung yang terletak di Jawa Timur ini memiliki keindahan alam cukup unik. Jika tidak, masakan kumpulan muzik Bunkface mengabadikan keindahan Bromo dalam muzik video lagu mereka yang berjudul ‘Kembali’. 

Dengan ketinggian 2,392 meter dari aras laut, Gunung Bromo yang berada dalam empat wilayah iaitu daerah Probolinggo, Pasuruan, Lumajang dan Malang ini cukup unik kerana statusnya sebagai gunung berapi aktif.

Untuk sampai ke Bromo, anda perlu mengambil penerbangan ke Surabaya, Indonesia. Dari sini, anda perlu teruskan perjalanan kira-kira dua jam lagi untuk sampai ke daerah yang menjadi akses ke Gunung Bromo ini.

Keindahan matahari terbit di Puncak Bromo menggamit kehadiran pengunjung dari pelosok dunia.

Terdapat tiga laluan yang boleh dipilih iaitu Probolinggo, Pasuruan dan Malang. Jadi terpulang kepada anda untuk membuat pilihan. Laluan paling popular ialah menerusi Probolinggo kerana laluannya agak mudah berbanding yang lain. 

Namun jika mahu menyaksikan pemandangan matahari terbit yang mengasyikkan, akses dari Pasuruan adalah yang terbaik.

Pakej ke empat lokasi

Jadi, agak-agaknya berapa harga yang perlu dibayar untuk menikmati magis alam di Gunung Bromo? Dengan pakej berharga Rp700,000 atau RM205 (dari Pasuruan), anda berpeluang melawat ke empat lokasi iaitu Pananjakan 1, Savana (Bukit Teletubbies), Pasir Berbisik dan Kawah Bromo dengan menaiki jeep.

Padang Savana atau Bukit Teletubbies menawarkan pemandangan alam yang cukup mempesona.

Hentian pertama sudah tentulah ke lokasi melihat matahari terbit. Sebagai info, kita tidak melihat matahari di atas gunung Bromo, tetapi menyaksikannya dari puncak gunung Penanjakan yang lebih tinggi dari Gunung Bromo.

Di lokasi ini kita dapat melihat pemandangan tiga buah gunung iaitu Gunung Bromo, Batok dan Semeru. Matahari terbit dapat dinikmati di antara pukul 4.30 pagi hingga jam 5.30 pagi.

Satu tip berguna, pastikan anda tiba awal jika mahu mendapat spot terbaik untuk menyaksikan matahari terbit. Jika lambat, mungkin anda akan berasa hampa kerana penglihatan agak terhalang dengan kesesakan pengunjung lain.

Dari puncak Penanjakan perjalanan akan diteruskan ke Savana atau lebih popular dengan gelaran Bukit Teletubbies. Pemandangan di sini cukup indah. Terletak di sebuah lembah hijau yang dikelilingi tebing-tebing menjulang tinggi dan beberapa gunung kecil, padang rumput ini punya tarikan luar biasa.

Setiap tahun masyarakat Tengger akan mengorbankan haiwan ternakan di Kawah Bromo ini sebagai hadiah kepada dewa.

Berada di sini membuatkan anda tidak jemu merakam gambar untuk dijadikan kenangan. Malah, berbaloi untuk dikongsi ke akaun media sosial.

Kenapa dinamakan Bukit Teletubbies? Nama ini muncul ketika program kanak-kanak ‘Teletubbies’ menjadi popular di Indonesia suatu ketika dahulu. Padang rumput Savana ini dikatakan punya persamaan dengan padang rumput yang menjadi taman permainan ‘teletubbies’.

Pasir Berbisik

Hentian ketiga untuk pakej ini ialah ke Pasir Berbisik. Lokasi padang pasir ini pernah menjadi lokasi penggambaran filem ‘Pasir Berbisik’ yang diterajui oleh Dian Sastrowardoyo pada tahun 2001.

Untuk singgah di sini, anda perlu memakai penutup mulut dan hidung kerana di sini banyak pasir berterbangan.

Pada September 2018, Bukit Teletubbies telah dilanda kebakaran, namun kini ia telah kembali menghijau.

Lokasi ini dipanggil Pasir Berbisik bukanlah sempena nama filem, tetapi kerana fenomena pasirnya yang seakan-akan berbisik ke telinga setiap orang yang melaluinya ketika angin bertiup.

Hamparan pasir terlihat sejauh mata memandang. Jika anda gemar mengambil foto alam semula jadi, lokasi ini pasti menarik perhatian.

Beralih ke hentian terakhir ialah melihat kawah gunung Bromo. Di sini terdapat sebuah Pura, tempat orang Tengger yang beragama Hindu melakukan upacara keagamaan seperti upacara Kasada (setahun sekali).

Sayangnya, jeep hanya boleh menghantar penumpang kira-kira 400 meter dari Pura dan ini bermakna anda harus berjalan kaki untuk sampai ke kawah gunung berapi ini. Jika tidak mampu atau tidak berstamina, bolehlah menyewa seekor kuda untuk dihantar sampai ke tangga pendakian.

Pasir Berbisik yang menjadi lokasi penggambaran filem yang dibintangi Dian Sastrowardoyo

Harga sewa kuda ini di antara Rp50,000(RM14.50) ke Rp 100,000 (RM29). Jadi kena bijak tawar-menawar.

Dari sini mahu tidak mahu,  anda perlu memanjat kira-kira 150 anak tangga untuk sampai ke bibir kawah Bromo. Penat memang penat, tetapi berbaloi kerana  berpeluang menyaksikan pemandangan lautan pasir, Pura Hindu, Gunung Batok dan sudah tentunya kawah Bromo sendiri.

Jika berhajat untuk ke sini, tinjau-tinjaulah pekej pelancongan menarik atau buat penempahan tiket penerbangan lebih awal bagi mendapatkan harga murah.


Bromo , travel , #mstartravel , pakej Bromo

Artikel Berkaitan