Menjejak ‘Laskar Pelangi’ di Belitung, Sumatera - Destinasi | mStar

Menjejak ‘Laskar Pelangi’ di Belitung, Sumatera

Kawasan mandi-manda Pulau Lengkuas antara tarikan di Pulau Belitung, Sumatera.

KALAU disebut nama Pulau Belitung, mungkin ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang kurang mengetahui tentang tempat ini. 

Namun, buat penduduk negara jiran kita di Indonesia, ia bukanlah satu nama asing bagi mereka. Malah ia merupakan salah sebuah destinasi percutian popular di Sumatera.

Selain itu pulau ini menjadi semakin popular selepas terlancarnya filem Indonesia yang berjudul Laskar Pelangi. Filem yang digarap berdasarkan novel tulisan penduduk tempatan Pulau Belitung sendiri iaitu Andrea Hirata telah menjalani penggambaran di situ dan mendapat sambutan luar biasa penduduk setempat.

Malah filem ini begitu popular kerana ia berdasarkan kisah benar yang pernah dilalui Andrea Hirata sendiri. Novel Laskar Pelangi sendiri sudah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa dan laris jualannya di kedai-kedai buku antarabangsa.

Bekas kawasan lombong bijih timah 'open pit'.

Turut dikenali dengan nama Billiton Island dalam bahasa Inggeris, pulau yang pernah menjadi jajahan Inggeris satu ketika dahulu ini terletak di selatan Sumatera.

Jika dilihat di peta, ia berada di antara Sumatera dan kawasan Kalimantan Borneo, Indonesia.

Untuk ke sana, terdapat pelbagai cara namun baru-baru ini saya dan beberapa orang rakan diberi peluang menjelajah Pulau Belitung bersama dengan pihak MTN Getaways dari Singapura.

Kami menaiki kapal terbang milik Garuda Indonesia dari Lapangan Terbang Changi di Singapura ke Belitung.

Sangat sedap mi tradisional Belitung.

Berkat kedudukannya yang tidak jauh dari Malaysia, bahasa tempatan yang dituturkan penduduknya sangat mirip dengan loghat dan bahasa Melayu yang kita gunakan di Malaysia.

Banyak juga tempat-tempat menarik yang sempat kami lawati sepanjang berada di sana. 

Pada hari pertama kami dibawa ke lokasi penggambaran filem Laskar Pelangi, iaitu replika sekolah rendah yang digunakan dalam filem tersebut. Di situ, para pengunjung boleh mengambil gambar di dalam replika bilik darjah yang tersedia.

Danau Kaolin

Dari situ kami dibawa pula ke Muzium Kata Andrea Hirata. Muzium tersebut merupakan rumah kediaman ibu-bapa Andrea yang kini dijadikan sebuah muzim kata-kata yang menarik. 

Selain seni reka dalamannya yang cantik dan berwarna-warni ia juga menempatkan petikan kata-kata menarik Andrea daripada tulisan yang pernah beliau hasilkan. Ia memang sesuai dijadikan tempat untuk bergambar.

Pantai Burung Mandi

Kami juga sempat berkunjung ke Pantai Burung Mandi untuk mengintai sebahagian keindahan lautan Belitung. Untuk benar-benar menghargai keindahan samudera sekitar pulau ini, kami ke Tanjong Kelayang untuk memulakan aktiviti snorkeling.

Kawasan mandi-manda Gua Kelayang

Acara menyelam memang menyenangkan di Belitung kerana lautannya masih biru dan jauh dari pencemaran. Ini diikuti lawatan ke pulau-pulau di sekitar Belitung seperti Pulau Lengkuas dan Kepayang.

Pulau Lengkuas terkenal dengan rumah api lama yang sering diabadikan di dalam gambar para pengunjung. Pulau Kepayang pula merupakan tempat yang sesuai untuk menjamu selera dengan makanan laut pada harga yang berpatutan.

Di situ juga terletaknya tempat penetasan penyu yang bertujuan memelihara haiwan tersebut daripada kepupusan.

Kemudian kami juga dibawa meneroka Pulau Batu Belayar serta kawasan batu Kelayang. Di antara batu-batu tersebut juga terdapat tempat khas untuk bermandi-manda dan berenang.

Replika sekolah rendah untuk filem 'Laskar Pelangi' yang dijadikan kawasan tarikan pelancong.

Jangan lupa juga untuk singgah di Pantai Tanjung Tinggi, sebuah lagi kawasan penggambaran popular dari filem Laskar Pelangi yang mempunyai sudut-sudut cantik berkat pembentukan batu-batu sekeliling pantai.

Untuk menjamah makanan tradisional Belitung yang enak, luangkan masa ke Belitung Timpo Duluk, sebuah restoran yang menyajikan makanan asli tradisional Belitung yang lazat dengan seni reka dalaman yang unik.

Bagi yang suka mengambil gambar pemandangan yang indah, singgahlah ke kawasan ‘Open Pit’ di Bukit Ki Karak, sebuah lombong peninggalan bijih timah yang kini mirip sebuah tasik biru.

Di samping itu, ada juga Danau Kaolin, yang tidak kurang hebatnya. Ia mirip kawasan gurun yang bertasik namun sangat cantik untuk diabadikan dalam gambar.

Penulis di restoran Belitung Timpo Duluk.

Bagi mengenali serba-sedikit tentang budaya masyarakat Belitung, sempatkan waktu ke Rumah Adat Belitung. Di situ terdapat serba sedikit penerangan tentang warisan budaya Belitung serta contoh rumah tradisional mereka.

Yang pasti, Belitung mempunyai banyak lagi tarikan lain dan apa yang sempat kami alami hanyalah segelintir sahaja daripada keindahan pulau tersebut. Jika anda ingin menjejaki kehidupan Laskar Pelangi, singgahlah ke Belitung sekarang!

Pulau Belitung , Laskar Pelangi , Sumatera , travel

Artikel Berkaitan