Jogja... dua-tiga hari tak cukup, kami pasti akan datang lagi! - Destinasi | mStar

Jogja... dua-tiga hari tak cukup, kami pasti akan datang lagi!

Antara tempat yang perlu dilawati sekiranya tiba di Jogja, Candi Borobudur.

TERNYATA pertama kali menjejakkan kaki ke kota Yogyakarta atau dipanggil Jogja seperti tidak mahu pulang memandangkan terlalu banyak lokasi menarik yang mahu dilawati.

Tempoh empat hari ke kota yang terkenal dengan pelbagai seni bina lama serta bersejarah yang terletak di tengah-tengah bandar ini membuatkan penulis berasa kagum seketika.

Pengalaman pertama kali ke Jogja ini sebagai memenuhi jemputan sempena meraikan Ulang Tahun Kota Yogyakarta yang ke-262 Oktober lalu.

Seluruh kota ini diserikan dengan cahaya lampu sepanjang karnival ulang tahun itu yang turut menyaksikan persembahan wayang di sepanjang jalan utama Jalan Sudirman, Tugu Jogja hingga ke Margo Utomo.

Tugu Pal Putih yang terletak gah di tengah jalan utama kota Malioboro merupakan ikon Jogja.

Persembahan kebudayaan sempena Ulang Tahun Kota Jogja yang ke-262 Oktober lalu.

Sepanjang malam sambutan hari bersejarah bagi kota itu, pelbagai tarian, aksi dan drama muzikal dapat dilihat dengan penuh kekaguman.

Berbaki dua hari selepas sambutan ulang tahun tersebut, kami sempat melawat beberapa lokasi bersejarah yang menjadi tumpuan utama dan wajib pergi sekiranya berada di Malioboro ini.

Antaranya lawatan ke candi Borobudur, sebuah lokasi yang perlu dikunjungi yang terletak di Megelang, Jawa Tengah (lebih kurang 45 minit perjalanan dari bandar Malioboro).

Selepas selesai melawati keunikan Borobudur itu, kami sempat singgah dahulu di sebuah restoran Manohara untuk mengisi perut serta menghilangkan rasa dahaga.

Manohara Resto merupakan satu-satunya restoran yang berada di kawasan candi ini.

Makam Raja-Raja Mataram antara tarikan pelancong.

Seterusnya kami juga sempat ke kraton Yogyakarta yang merupakan istana rasmi Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat yang sebelum ini merupakan pemerintahan Kesultanan Yogyakarta.

Tidak ketinggalan, kami singgah juga ke Kotagede yang merupakan ibu kota dan pusat kerjaan Mataram Islam sebelum ini. Kemegahan kerajaan Mataram dapat dilihat dengan jelas daripada peninggalan bangunan yang masih kukuh di sini.

Mengikut perbualan dengan penduduk di sekitar kota ini, Malioboro memang terkenal dengan sejenis kuih yang dikenali Bakpia Pathuk.

Pelbagai rasa disediakan dan yang original perasa kacang. Rata-rata yang datang ke Jogja ini pasti akan membawa pulang kuih tradisional itu sebagai ole-ole.

Waktu malam Kota Jogja tidak pernah sunyi.

Nasi kucing antara makanan popular di Jogja.

Seawal 3 petang, gerai-gerai di kaki jalan besar mula dibuka dengan menyediakan pelbagai makanan seperti sate, gudeng (seperti ayam penyet), gado-gado dan paling digemari lampia (seperti popia) dimakan bersama cili padi serta 'nasi kucing'.

Masih terngiang pesanan seorang teman dari sana bahawa jangan terkejut jika membaca menu nasi kucing kerana di sini ia dianggap makanan yang dihormati.

Nasi kucing dijual di gerai-gerai di tepi jalan dan dibungkus (seperti nasi lemak bungkus di Malaysia) dimakan dengan sedikit sambal dan sate. Sedap.

Laluan keretapi di tengah-tengah kota raya tidak menjadi masalah besar kepada penduduk di sekitar bandar ini. Malah ia juga kelihatan unik apabila dikelilingi hotel serta pusat perniagaan.

Jangan lupa di Malioboro juga terkenal dengan kopi Joss iaitu kopi yang diperbuat daripada arang. Rata-rata yang datang ke sini, akan menikmati kopi asli Jogja ini.

Sempat menaiki kereta kuda mengelilingi Kota Jogja.

Tempoh yang terhad membuat kami agak terkilan kerana banyak lagi lokasi terkenal yang menarik di Jogja tidak sempat dilawati.

Yang pasti kami akan kembali ke Jogja untuk menikmati keindahan alam semulaji dan pusat peranginan lain yang ada di sini.

Antaranya Pantai Parangritis, Gumuk Pasir, Merapi dan sebagainya.

Tip yang perlu anda ingat ialah jika ke Jogja perlu habiskan satu-satu lokasi seperti bermula dari sebelah utara, selatan, timur dan barat. Tunggu kami datang lagi!

Yogjakarta