Tak perlu pergi jauh cari tempat paling aman, boleh aje ke Gili Trawangan - Destinasi | mStar

Tak perlu pergi jauh cari tempat paling aman, boleh aje ke Gili Trawangan

Keindahan Gili Trawangan yang sentiasa menggamitkan kehadiran pelancong.

BIARPUN ramai yang mula beranggapan Gili Trawangan sudah overrated dek kerana kebanjiran pelancong, namun keindahan pulau kecil yang terletak di Lombok, Indonesia ini tidak mengecewakan.

Indah, mempesona, menyeronokkan. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lombok selama tiga jam tidak lagi menjadi satu isu sebaik sahaja mata terarah ke pemandangan yang terbentang di depan mata. 

Lautnya luas membiru, airnya sejernih kaca, pantainya putih bagaikan kapas. Tidak perlu berlarian ke gigi pantai untuk melihat semua ini. Semuanya boleh dilihat dari jauh.

Jika anda mahu melarikan diri daripada rutin harian yang membosankan, Gili Trawangan salah satu destinasi yang harus dipertimbangkan. 

Cidomo merupakan pengangkutan utama di pulau ini memandangkan kenderaan bermotor tidak dibenarkan.

Di sini tiada kenderaan bermotor yang dibenarkan. Jika mahu ke mana-mana, boleh ambil Cidomo (kereta kuda) atau mengayuh basikal. Jadi boleh bayangkan sendiri betapa amannya percutian di sini.

Kadar sewa harian bagi sebuah basikal ialah Rp30,000 ke Rp50,000 (RM8.00 – RM14.00). Manakala untuk Cidomo, tambang yang dikenakan bermula dari Rp40,000 sehingga Rp75,000 (RM10.00 – RM20.00), bergantung kepada jarak perjalanan.

Untuk keselesaan, pilih hotel yang terletak jauh dari kawasan tumpuan utama jika benar-benar mahukan percutian yang santai dan damai. 

Tambah menarik jika lokasi hotel yang dipilih terletak berhampiran Sunset Point.  Menikmati keindahan matahari terbenam di Gili Trawangan merupakan salah satu aktiviti yang mesti dilakukan.

Salah satu hotel yang boleh dijadikan pilihan ialah Aston Sunset Beach Resort.

Hotel bertaraf empat bintang ini menawarkan penginapan cukup selesa dengan pelbagai kemudahan.

Nikmati keindahan matahari terbenam di Sunset Point.

Paling penting, lokasinya tepat di hadapan pantai. Percayalah, sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik hotel, hati  pasti berbunga riang. 

Rasa cukup berbaloi setelah melalui perjalanan yang panjang. Maklumlah, untuk sampai ke Trawangan, anda perlu menaiki kapal terbang, kereta, bot laju dan juga Cidomo. Ha! mencabar juga kan?

Jadi, bagi anda yang sedang merancang percutian hujung tahun ke Gili Trawangan, semak tip percutian berikut untuk dijadikan panduan!

7 perkara sebelum ke Gili Trawangan

1. Sila bawa wang yang mencukupi kerana harga makanan, minuman dan barangan cenderamata di sini agak mahal berbanding lokasi percutian Indonesia yang lain seperti Jakarta dan Bandung.  Kalau hendak membuat tukaran wang di pulau ini, agak merugikan kerana nilai tukaran yang dikenakan lebih rendah.

Rawatan Spa antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini kerana harganya yang murah berbanding di Malaysia.

2. Jika ingin perjalanan anda ke Gili Trawangan berjalan lancar, lebih baik cari pemandu awal-awal untuk menunggu anda di lapangan terbang sebaik tiba. Memang banyak kenderaan yang boleh ditempah sebaik tiba, tetapi mungkin harganya lebih tinggi. Lagipun, takkan anda mahu memeningkan kepala dengan perkara yang tidak perlu.

3. Terdapat beberapa pilihan untuk ke Gili Trawangan. Jika anda mahu yang murah, anda boleh terus  ke jeti Bangsal untuk menaiki bot biasa pada harga Rp13,000 (RM3.75) sahaja. Tetapi jangan jangkakan keselesaan kerana pengangkutan ini digunakan penduduk tempatan. Kalau mahu selesa dan cepat sampai, ambillah bot laju yang disewa khas, di Teluk Nare. Harga sewa sebuah bot laju, Rp400,000 (RM115.35) dan ia boleh memuatkan sehingga 6 orang.

4. Jangan lepaskan peluang menyaksikan sunset di sebelah bahagian barat pulau. Lokasi terbaik yang dicadangkan ialah di Sunset Point.

Jika tidak mahu melakukan aktiviti di dalam air, bolehlah habiskan masa dengan piknik di tepian pantai.

5. Jika ingin menjimatkan duit makan, anda boleh ke Pasar Malam Gili Trawangan untuk menikmati pelbagai jenis makanan tempatan. Nasi bungkus  dengan sambal tempe dan ayam goreng boleh dibeli dengan Rp10,000. 

6. Sebelum bertolak pulang, jangan lupa buat rawatan spa kerana harganya lebih murah berbanding di Malaysia. Dengan bajet RM150, anda sudah boleh mendapat rawatan berkelas 5 bintang.

7. Jika ingin membeli ole-ole untuk dibawa pulang, lebih baik minta pemandu singgah di kota Mataram untuk mencari cenderahati yang diingini. Harganya jauh lebih murah. 

Gili Trawangan , Travel , Jelajah , Lombok