Hello Kitty gergasi, 7 zon selfie menarik di pameran Our Sanrio Times, anak anda pasti suka! - Destinasi | mStar

Hello Kitty gergasi, 7 zon selfie menarik di pameran Our Sanrio Times, anak anda pasti suka!

BILA sebut tentang Sanrio, perkara pertama yang ada dalam fikiran mestilah Hello Kitty! Betul tak?

Sejak berdekad lamanya, watak ciptaan Sanrio pastinya dekat di hati mereka yang membesar dengan karektor-karektor ini.

Sempena cuti sekolah ini, ibu bapa khususnya, tak perlu pening-pening lagi merancang lokasi percutian atau liburan untuk anak-anak.

Bawa sahaja mereka bertemu 'bintang' dari Jepun ini di pameran istimewa Our Sanrio Times yang diadakan di tingkat 5, pusat beli belah Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Terdapat 13 tema berbeza melibatkan lebih 400 karakter yang sangat comel termasuk patung Hello Kitty gergasi dengan ketinggian 3.5 meter!

Kalau dah sampai di sana, ini antara beberapa zon swafoto yang anda tak boleh terlepas!

Maklumlah, bukan selalu Our Sanrio Times datang Malaysia. Jadi gunakan masa yang ada untuk enjoy dan berselfie!

1. Sanrio Village


Di sinilah tumpuan utama pameran ini dimana replika kereta api klasik Sanrio seperti di Sanrio Gift Gate of Gotanda, Tokyo dipamerkan.

Lebih menarik apabila hampir 100 karakter Sanrio lain seperti Hello Kitty, Patty & Jimmy, dan Minna no Tabo akan menyambut kehadiran anda di atas kereta api berkenaan.

Rekaan zon yang unik dan penuh nostalgia ini pastinya memberikan memori zaman kanak-kanak yang menyeronokkan!

2. The Retro Classic


Pasti ada di antara anda yang tidak mengetahui Hello kitty sebenarnya memiliki sebuah dompet menyimpan duit syiling.

Kalau anda nak tahu, The Retro Classic merupakan replika dompet syiling Hello Kitty yang julung kalinya dipamerkan di Malaysia!

Peminat barangan Hello Kitty pasti akan teruja berasa di zon ini.

3. The Plushy World


Sebaik melangkah masuk ke Plushy World, anda pasti akan tergamam melihat anak patung gergasi Hello kitty berketinggian 3.5 meter duduk di ruangan ini.

Lebih istimewa, terdapat 2,000 karakter Sanrio lain dilekat pada kiri dan kanan dinding bagi memenuhi ruangan ini.

Haaa... ianya sekadar hiasan. Jangan ada yang nak bawa balik pula ya!

4. Drawing Classroom


Selain berswafoto, pengunjung juga berpeluang membuat demonstrasi lakaran untuk 9 watak Sanrio.

Yang tak pandai melukis, ini peluang terbaik anda!

Melalui kelas ini, pengunjung berpeluang menyaksikan bagaimana watak-watak comel Sanrio ini dihasilkan.

Bila dah mahir, barulah anda boleh lukis watak kegemaran anda!

5. Vintage Stationery House



Zon ini yang paling menggamit memori pengunjung. Nak tahu mengapa?

Sebab dekat zon inilah pelbagai barangan alat tulis Sanrio seperti pembaris, pemadam, pengasah pensil, kotak pensil yang kebanyakannya kita guna semasa zaman sekolah duhulu, ada dipamerkan di sini.

Vintage Stationery House ini membuatkan anda nak balik ke zaman sekolah!

6. Paper Doll Fun


Selain anak patung, anda mesti pernah bermain dengan anak patung kertas juga kan? Alaa... yang harga satu buku RM1.50 tu!

Di pameran Our Sanrio Times pun ada zon ini tau! Bezanya, dekat sini semua dalam saiz gergasi.

Anda boleh mix & match (campur & padan) gaya Kiki dan Lala dengan pelbagai koleksi baju dan aksesori dari almari kertas yang hebat!

7. Strawberry Newsroom, Office & Studio


Jika anda peminat tegar Sanrio, anda pasti tahu mengenai majalah bulanan global yang memberikan informasi terkini mengenai Sanrio.

Kali ini, anda berpeluang melawat sendiri suasana Strawberry Newsroom dan membaca koleksi-koleksi edisi Strawberry News yang terdahulu di sini!

Nak suasana yang lebih eksklusif, anda juga boleh lepak di Strawberry Office!

Pasti banyak rahsia Sanrio disembunyikan di sini kan?

Selain itu, pengunjung juga boleh menjadi model untuk Strawberry News!

Bagaimana? Mudah je. Cuma perlu ke Strawberry Studio untuk sesi photoshoot! Boom! Wajah anda kini menghiasi muka hadapan majalah Strawberry News dan anda bakal terkenal di seluruh Sanrio!

Pameran terbesar di Asia Tenggara ini bermula dari 24 November 2018 hingga 6 Januari bermula pukul 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Harga tiket bermula RM33 untuk warganegara dan RM20 bagi OKU dan warga emas.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.oursanriotimes.my