Pengalaman baharu bercuti ke Sri Lanka - Destinasi | mStar

Pengalaman baharu bercuti ke Sri Lanka

Pemandangan dari bilik Hotel Galle Face. Foto: Gallefacehotel.com.

BOLEH dikatakan Sri Lanka antara negara yang masih kurang menerima pelancong dan jarang diterokai oleh pengembara luar.

Namun mStar Online berpeluang mengunjungi negara itu bersama rombongan media yang dibawa oleh sebuah agensi pelancong.

Pertama kali menjejakkan kaki di Sri Lanka, ia nyata memberi pengalaman baharu untuk dikongsi dalam siri Jelajah kali ini.

Memandangkan percutian ini hanya empat hari tiga malam, kami hanya berkesempatan mengunjungi dua bandar Sri Lanka iaitu Colombo dan Kandy.

Antara yang menarik di Colomba ialah penginapan hotel yang disediakan agensi pelancong iaitu Galle Face Hotel Sri Lanka.

Hotel Galle Face, Colombo


Antara 'spot' menarik di sekitar Hotel Galle Face. Foto: EZZAT EDDY AZLY.

Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Bandaranaike, Colombo mengambil masa tiga jam.

Manakala perjalanan ke tempat penginapan pula mengambil masa sejam dengan menaiki mini van, disebabkan kesesakan lalu lintas.

Biarpun letih disebabkan perjalanan selama lebih empat jam, namun kami teruja melihat pemandangan hotel yang berhadapan lautan hindi.

Hotel Galle Face ini juga mempunyai bilik yang besar dan selesa serta hidangan bufet dengan harga yang berpatutan.

Gerai makanan sepanjang 500 meter yang dikenali sebagai Galle Face Green. Foto: VisitColombo.

Di hadapan hotel terdapat gerai menjual makanan ringan sepanjang 500 meter yang dikenali sebagai Galle Face Green.

Galle Face Green mendapat namanya kerana kesemua gerai makanan sepanjang pantai itu berwarna hijau.

Teksi Tuk Tuk


Tuk Tuk merupakan antara kenderaan utama untuk berjalan. Foto: ARIF NASIR.

Selain penginapan yang best dan selesa, kami juga tertarik untuk cuba menaiki kenderaan teksi yang digelar Tuk Tuk di bandar itu.

Tuk Tuk yang boleh dinaiki dua atau tiga penumpang itu antara kenderaan utama untuk berjalan pusing bandar selain menaiki bas tempatan.

Biarpun seronok berjalan pusing bandar dengan menaiki Tuk Tuk, kami hampir kena tipu dengan pemandu kenderaan itu.

Pemandu itu pada mulanya kelihatan gembira dan menyanyi sepanjang perjalanan namun setibanya di hotel, dia mengenakan bayaran tambahan untuk nyanyiannya.

Kami bernasib baik kerana ada pemandu Tuk Tuk lain yang 'menyelamatkan' situasi pada ketika itu.

Namun, ia suatu pengalaman baharu buat kami dan pelancong lain dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila ingin menaiki Tuk Tuk di Colombo.

Kandy, Sri Lanka


Pemandangan dari Kandy View Point. Foto: EZZAT EDDY AZLY.

Selain dapat berjalan di bandar Colombo, kami juga berpeluang untuk menerokai bandar Kandy yang terkenal dengan kawasan ladang teh.

Perjalanan dari Colombo ke Kandy mengambil masa selama lebih lima jam dengan menaiki bas.

Kami bertolak dari Colombo pada pukul 10.30 pagi dan tiba di bandar itu lebih kurang pukul 4 petang.

Disebabkan sudah lewat tiba, kami mengambil keputusan untuk 'check in' dan meletakkan bagasi terlebih dahulu di Hotel Suisse.

Selepas itu, kami bergegas untuk menonton persembahan tarian tradisional Sri Lanka yang bermula pukul 5 petang.

Tarian Tradisional Sri Lanka di Kandy


Keunikan tarian tradisional Sri Lanka. Foto: SYED AMRAN.

Persembahan tarian tradisonal Sri Lanka yang dianjurkan oleh Mallawarchchi Cultural Show Organisers itu diadakan di Y.M.B.A Hall, Rajaphilla Mawatha, Kandy.

Penonton dihiburkan selama hampir dua jam dengan sembilan persembahan tarian Conch Shell & Drum Orchestra, Pooja Dance dan Thelme Dance.

Selain itu terdapat juga tarian lain seperti Salupliya Dance, Raban Dance, Kulu Dance, Ves Dance, Group Dance, Patheru/Acrobaties dan Peacock Dance.

Keunikan tarian dan pakaian tradisional mereka membuatkan mata kami tidak berkelip melihat aksi-aksi setiap penari di atas pentas.

Selepas persembahan tarian tamat, kami dibawa turun ke bawah untuk melihat persembahan bermain dengan api pula.

Antara persembahan wajib berjalan kaki di atas api. Foto: EZZAT EDDY AZLY.

Aksi berani mereka bermain dengan api dan berjalan di atas api itu membuatkan kami berasa teruja.

Difahamkan warisan seni tarian mereka adalah sangat penting hingga diabadikan dalam duit kertas Sri Lanka.

Kilang Geragama Tea

Sri Lanka merupakan pengeluar teh ke-4 terbesar di dunia selepas negara China, India dan Kenya dengan pengeluaran sebanyak 8 peratus secara global.

Antara kawasan-kawasan teh yang ada di Sri Lanka ialah di Nuwara Eliya, Uva, Dimbula, Uda Pussellawa, Kandy, Ruhuna dan Sabaragamuwa.

Salah satu kilang pengeluar dan pengekspot tea di Kandy. Foto: EZZAT EDDY AZLY.

Sebelum bergerak ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia, kami sempat melawat salah satu kilang pengeluar dan pengekspot teh iaitu Geragama Tea Factory.

Bagaimanapun, cuaca ketika itu tidak mengizinkan apabila hujan berterusan menyebabkan kami terpaksa membatalkan niat untuk melihat keindahan ladang teh tersebut.

Biarpun tidak dapat menikmati suasana di tengah ladang, namun kami berkesempatan melihat bagaimana kilang itu memproses daun teh untuk dijadikan minuman.

Malah, kami juga berpeluang menikmati rasa teh original yang dibuat oleh pekerja di kilang tersebut serta membeli teh untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Terima kasih agensi 'Selamat Bercuti' yang menaja percutian ini.

Sri Lanka , Kandy , Colombo

Artikel Sebelum

Rasa Malaysia di Ginza, Jepun