Bukan sekadar keropok lekor... Lorong penyu, mural warna-warni buat Terengganu lebih menarik - Destinasi | mStar

Bukan sekadar keropok lekor... Lorong penyu, mural warna-warni buat Terengganu lebih menarik

Bahagian hadapan Turtle Alley yang menyajikan pelbagai informasi mengenai penyu.

SEBUT sahaja Terengganu, mesti dalam kepala asyik terbayang keenakan keropok lekor.

Ya, memang keropok lekor jadi menu 'wajib makan' jika sudah sampai ke sana tetapi cuba luaskan sikit imaginasi anda kerana sebenarnya ada banyak lagi perkara dan lokasi menarik di negeri ini.

Seperti semua tahu, Terengganu sememangnya kaya dengan pulau-pulau dan pantai yang indah.

Antara paparan informasi mengenai penyu di Turtle Alley.

Contohnya, Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Kapas, Pantai Penarik atau Pantai Bukit Keluang.

Fuhh, mesti anda terus terbayang kebiruan air laut dengan suasana santai dan menenangkan jiwa.

Dengan adanya banyak pulau dan pantai, maka tidak hairanlah jika negeri Terengganu begitu sinonim dengan penyu.

Terdapat banyak informasi kesedaran mengenai ancaman kepupusan penyu di Turtle Alley.

Jadi, kali ini mStar Online mahu membawa anda ke satu lokasi yang terletak berhampiran Pasar Payang dan Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Biasanya ramai yang akan berkunjung ke pantai untuk melihat penyu bertelur, tapi apa kata anda 'lari' sedikit dari kebiasaan itu dan cuba menelusuri Turtle Alley.

Apa yang ada di Turtle Alley ni? Di lorong kecil ini, anda bukan sahaja boleh bergambar dengan street art yang cantik, malah boleh mendapat pelbagai informasi mengenai haiwan unik yang hampir pupus itu.

Infografik kreatif di Turtle Alley turut menjadi tumpuan orang ramai untuk merakam foto di situ.

Lorong itu sebenarnya terletak di antara rumah-rumah kedai, malah ramai yang menggunakan laluan itu sebagai jalan pintas untuk ke bangunan belakang.

Sepanjang perjalanan itu, anda dapat menyaksikan pelbagai hasil seni berkaitan penyu.

Ia bukan sekadar indah di mata malah penuh informatif sekali gus memberi pelbagai input berkaitan haiwan itu.

Antara lukisan mural yang begitu 'insta-worthy'.

Berjalan sedikit dari Turtle Alley, anda akan tiba di Lorong Warisan Dunia, Kampung Cina yang kaya dengan pelbagai street art dan mural kreatif di dinding-dinding bangunan.

Pelbagai lukisan menarik disajikan sebagai latar belakang untuk pengunjung bergambar dan ia sememangnya menjadi tumpuan utama 'kaki-kaki Instagram'.

Malah, di sini juga ada satu kawasan yang dinamakan Love Lock yang mana pengunjung boleh membeli mangga kunci denga harga serendah RM10 untuk diabadikan dengan nama pasangan mereka.

Love Lock yang boleh didapati pada harga serendah RM10 sahaja.

Berbalik kepada Turtle Alley, sebenarnya anda tak perlu ke pantai pun kalau nak belajar mengenai habitat penyu, kerana di situ pun sudah banyak ilmu yang boleh dicari.

Apa yang paling penting, sama-sama kita berusaha menjaga kebersihan pantai dan laut agar penyu-penyu dapat terus hidup dan membiak.

Kalau nanti penyu-penyu tu pupus disebabkan perbuatan manusia, generasi akan datang terpaksalah pergi tengok replika penyu sahaja di muzium. Tak begitu?

Orang ramai turut menjadikan dinding Love Lock sebagai latar belakang foto mereka.

Artikel Sebelum

Pengalaman baharu bercuti ke Sri Lanka