suria

Jerman timur kaya sejarah, alam semulajadi

LAGU 'Wind of Change' yang dikarang penyanyi utama kumpulan rock terkenal dari Jerman, Scorpions, Klaus Meine pernah menjadi siulan anak muda sekitar 1990-an.

Bukan hanya melodinya yang indah tetapi lagu evergreen itu mempunyai lirik yang amat mendalam dan berkait rapat dengan suasana politik dunia ketika itu.

Kejatuhan secara total blok komunis dunia diraikan seluruh dunia.

Di Jerman, tidak ketinggalan apabila Tembok Berlin yang memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur dirobohkan pada 13 Jun 1990.

Bahagian memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur ketika Perang Dingin.

Kunjungan penulis pada musim bunga di bahagian timur laut Jerman ini bukan hanya dapat menyelam sedikit sebanyak sejarah negara yang pernah satu masa dulu terbahagi dua akibat perbezaan fahaman politik tetapi juga terpukau dengan keindahan alam semula jadi yang dijaga dan terpelihara.

Hari ini, penulis ingin kongsikan sedikit apa menariknya negara ini.

Ada apa di Berlin?

Ibu negara Jerman ini adalah bandar paling besar dan kedua paling ramai penghuni di Eropah selepas London.

Walaupun sebuah kota metropolitan, Berlin turut mengekalkan banyak monumen bersejarah dan yang paling terkenal adalah lokasi Tembok Berlin.

Tembok Berlin sepanjang 140 kilometer dibina pada 13 Ogos 1961 memisahkan antara Jerman Barat dan Jerman Timur dek kerana perbezaan fahaman.

Pembinaan sehari semalam ini, menyebabkan dalam sekelip mata keluarga terpisah, rakan berjauhan dan penduduk terbahagi dua.

Tembok Berlin.

Pembinaan keduanya pada Jun 1962 dengan pagar dibina sejauh 100 meter ke arah Jerman Timur.

Rumah di antara sempadan itu dirobohkan dan penduduk dipindahkan, dan deretan itu dikenali sebagai Death Strip.

Lebih menakutkan ia dipenuhi dengan pasir di bahagian atasnya supaya jejak tapak kaki sesiapa saja yang menyeberang dapat dikesan dan sesiapa saja berada di kawasan itu terdedah dengan tembakan tentera yang mengawal tembok.

Kawasan sekitar Tembok Berlin.

Hari ini, ada sebahagian kecil kawasan yang pernah menjadi tapak tembok itu diletakkan monumen dan muzium serta keterangan dan maklumat mengenai Tembok Berlin untuk tatapan generasi akan datang dan pelancong.

Check Point Charlie pula adalah lokasi yang simbol Perang Dingin menandakan pemisahan antara blok Barat dan Timur.

Ia diberi nama oleh sekutu Barat kepada tempat untuk menyeberang antara Berlin Timur dan Berlin Barat semasa Perang Dingin antara 1941 hingga 1991.

Bergambar dengan model berpakaian tentera Amerika dan Jerman di Check Point Charlie, Berlin.

Jika berpeluang singgah ke sini, bolehlah bergambar dengan model yang memakai pakaian seragam tentera Jerman dan Amerika.

Tetapi sesiapa yang mahu bergambar dengan mereka bukan percuma tetapi perlu membayar dengan kadar ditetapkan.

Bermudik dengan bot galah di kampung tanpa jalan di Spreewald

Setiba di Hutan Spreewald yang terletak 100 kilometer dari tenggara Berlin, ia adalah kawasan perkampungan yang diiktiraf sebagai Rizab Biosfera Unesco sejak 1991 berikutan sistem pengairan tradisional dengan lebih 200 terusan kecil di kawasan seluas 484 kilometer persegi.

Bersiap sedia untuk menikmati keindahan Spreewald menggunakan bot galah.

Luangkan masa menaiki bot galah sambil menikmati keenakan ikan salmon salai atau hering salai.

Dua jam berada dalam bot galah seolah tidak terasa dek terpukau dengan keindahan rumah penduduk tempatan dan lamannya. Kampung ini menarik kerana pengangkutan utama adalah sampan dan gondola.

Bukan itu saja, selepas selesai menaiki bot galah, boleh cuba makan jeruk sayur sayuran seperti timun yang dibuat penduduk tempatan, boleh juga dibawa pulang sebagai buah tangan.

Devil’s Bridge Rakotzbrucke, spot bergambar yang indah

Terletak di Taman Kromlau, jambatan Rakotzbrucke atau dikenali sebagai Devil’s Bridge adalah jambatan yang dibina separa bulat dan kelihatan bulat apabila bersambung dengan bayangan air sungai di bawahnya.

Dibina pada tahun 1860 oleh pahlawan tempatan, jambatan kecil itu dibina merentasi Sungai Rakotzsee dengan menggunakan batu-batu buntar.

Ia dikenali sebagai Devil’s Bridge atau jambatan ‘syaitan’, kerana ia berbahaya untuk digunakan berikutan binaan yang tidak rata. Malah, banyak lagi jambatan seumpama itu dibina di seluruh Eropah di zaman pertengahan.

Kini, Devil’s Brige Rakotzbrucke menjadi tempat tumpuan pelancong tempatan dan penggemar alam semulajadi kerana keindahan hutan di sekitar jambatan itu.

Tetapi jika mahu berkunjung ke situ, perlu juga membuat kajian terlebih dulu, jika tersilap musim Sungai Rakotzee kering dan tiadalah bayangan jambatan yang unik itu untuk dirakamkan.

Artikel Lain