suria

Tak mampu ke Maldives, Pulau Flores pun ‘best’, lebih daripada Naga Komodo

Pemandangan dari puncak Pulau Kelor memukau mata memandang.

INDONESIA bukanlah satu destinasi percutian asing lagi buat rakyat Malaysia. Ini jelas terlihat sejak adanya banyak penerbangan langsung ke pelbagai kota di sana.

Malah, rakyat Malaysia merupakan di antara pelancong paling ramai yang berkunjung ke negara jiran itu.

Namun ramai juga yang lupa bahawa Indonesia merupakan sebuah negara yang sangat besar dan kalau bercakap soal percutian, negara ini mampu menawarkan lebih daripada sekadar kota Jakarta, Bali, Bandung atau Yogyakarta. 

Masih banyak lagi pelosok lain di Indonesia yang boleh diterokai dan salah satu yang semakin mendapat tempat di kalangan penduduk dunia, adalah Pulau Flores dan gugusan kepulauan sekitarnya.

Pulau Flores yang termasuk dalam wilayah atau provinsi Nusa Tenggara Timur Indonesia, merupakan pintu masuk ke salah satu taman nasional paling popular mereka, iaitu taman nasional Komodo, yang juga merupakan habitat asal satu-satunya ‘naga’ yang tinggal di dunia, iaitu Naga Komodo.

Pemandangan bot-bot di Pelabuhan Labuan Bajo.

Selain daripada itu, pulau Flores juga merupakan destinasi yang sangat disukai ramai kerana kekayaan alam semula jadinya yang indah dan masih terpelihara.

Biarpun belum ada penerbangan langsung ke Flores dari Malaysia, namun ia mampu ditujui dengan penerbangan Garuda Indonesia melalui bandaraya Jakarta.

Penerbangannya juga tidak memakan masa yang lama dan hanya mengambil masa sekitar dua jam dari lapangan terbang antarabangsa Soekarno Hatta, di Tangerang dekat Jakarta.

Semua pesawat akan mendarat di lapangan terbang Komodo, di bandar Labuan Bajo, iaitu bandar utama dan paling popular di Pulau Flores. 

Bandar yang bermula sebagai sebuah perkampungan nelayan ini dahulu kini menjadi sebuah pusat pelancongan yang penting berkat kedudukannya sebagai pintu masuk ke Pulau Flores dan Pulau Komodo secara umum.

Biarpun bandarnya tidaklah terlalu besar namun ia mempunyai banyak tarikan tersendiri. Sejak meniti nama sebagai destinasi pelancongan, ia mula menyaksikan semakin banyak pembangunan dengan kemunculan hotel-hotel baru dan aneka tempat penginapan, daripada yang berharga rendah sehinggalah yang paling mewah.

Penulis bergambar bersama Naga Komodo di Pulau Komodo.

Dan dari beberapa lokasi tertentu di Labuan Bajo, para pengunjung dapat menyaksikan sendiri secebis keindahan semula jadi kawasan persekitaran pulau tersebut.

Selain beberapa kawasan pantai persendirian di Labuan Bajo, pelabuhannya juga sangat popular kerana merupakan lokasi utama untuk sebahagian besar kapal dan bot pesiar berlepas untuk penangkapan ikan dan penjelajahan pulau sekitarnya.

Sebagai sebuah bandar nelayan, ia juga terkenal dengan makanan laut yang segar dan menyelerakan. Kebanyakan pengunjung Labuan Bajo pasti akan menjejakkan kaki ke Kampung Ujung, sebuah destinasi berdekatan pelabuhan utama kota tersebut.

Hidangan Ajnas

Di situ terdapat jajaran aneka gerai makanan yang menjual ajnas hidangan lazat berasaskan ikan serta makanan laut. Para pengunjung boleh memilih jenis ikan dan ramuan yang ingin dimakan sebelum dimasak dan boleh membuat perbandingan harga dari kedai ke kedai.

Salah satu kawasan pantai peribadi di perkarangan Jayakarta Komodo-Flores.

Di waktu malam, Kampung Ujung memang sibuk dengan kunjungan pelancong asing dan tempatan yang mencari makanan.

Namun tujuan utama pelancong berkunjung ke Labuan Bajo dan Pulau Flores bukanlah makanan lautnya tapi untuk menghayati keindahan alam semula jadi pulau-pulau sekitarnya.

Seperti kebanyakan pulau di dunia, terdapat banyak syarikat pelancongan yang menyediakan perkhidmatan penjelajahan untuk para pelancong dan syarikat Alba Cruise merupakan salah satu yang paling diiktiraf di situ. 

Malah sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Komodo, para wakil syarikat tersebut mempunyai kaunter mereka tersendiri di ruang lobi untuk menjelaskan perkhidmatan yang ada.

Secara umum, mereka pasti mencadangkan untuk melakukan lawatan seharian ke pulau-pulau sekitar. Ada pelancong yang memilih untuk bermalam di atas kapal-kapal yang berlayar beberapa malam di lautan berhampiran, dan berhenti di pulau-pulau tertentu.

Jeti di Pulau Menjerite.

Namun ada pilihan lain juga di mana lawatan dapat dilakukan tanpa menginap di atas kapal, iaitu dengan menaiki bot laju ke pulau-pulau tersebut.

Persiaran bot laju ini dilakukan dengan menaiki bot yang selesa dan lengkap dengan makanan ringan serta makan tengah hari dan minuman. Ia turut dilengkapi dengan pemandu pelancong khas di samping kelengkapan renang dan juga perkhidmatan hantar dan jemput dari, serta ke tempat penginapan setiap peserta.

Ini biasanya dimulakan denga lawatan ke Pulau Padar dari pelabuhan utama Labuan Bajo dan berakhir di Pulau Kanawa. Lawatan ini pada umumnya memakan waktu sehari suntuk bermula sekitar jam enam pagi dan berakhir pada jam empat petang.

Pulau Padar yang biasanya menjadi pembuka lawatan merupakan sebuah pulau yang sangat cantik dan pendakian ke puncaknya menjanjikan pemandangan persekitaran yang sangat menakjubkan.

Bot pesiar laju yang membawa tamu ke kawasan pulau sekitar.

Terdapat beberapa ratus anak tangga yang perlu didaki untuk sampai ke puncak namun cabaran tersebut memang berbaloi, sesuai dengan pemandangan yang dikecapi di puncaknya nanti.

Melihat Naga Komodo

Sudah tentu kunjungan ke Flores juga tidak lengkap jika pengunjung tidak melawat Pulau Komodo dan Pulau Rinca. Ia merupakan tempat tinggal Naga Komodo dan merupakan kawasan utama Taman Nasional Komodo. Di situ, para pelancong boleh menyaksikan sendiri naga-naga Komodo yang berkeliaran di depan mata.

Namun jangan risau, ada pemandu khas pelancong atau renjer yang akan menemani setiap pelawat di bahagian depan dan belakang untuk memastikan keselamatan setiap yang datang. Malah jika bernasib baik boleh juga mengambil gambar berdekatan dengan naga Komodo dengan bantuan pihak renjer.

Tetapi harus diingatkan bahawa Naga Komodo merupakan reptilia liar dan setiap pelawat harus berhati-hati dan peka dengan persekitaran. Oleh kerana jumlah haiwan ini semakin pupus, ia termasuk sebagai haiwan yang dilindungi oleh pihak berkuasa tempatan.

Pilihan makanan mentah berupa ikan segar dan makanan laut .

Di Pulau Komodo juga terdapat gerai-gerai yang menjual cenderamata untuk pelancong.

Selesai bersemuka dengan naga-naga Komodo. Para tamu biasanya akan dibawa ke Taka Makassar dan Manta Point yang berdekatan. Ia merupakan kawasan lautan yang tidak terlalu dalam dan menjanjikan keindahan lautan biru serta terumbu karang yang masih indah dan terpelihara.

Malah lautannya mirip lautan biru di Maldives kerana kejernihan dan kebersihan air lautnya. Lebih menarik lagi, di situ juga pelancong boleh melakukan aktiviti berenang atau snorkelling bersama-sama dengan puluhan kelompok ikan pari!

Ia benar-benar sangat menakjubkan dan lebih penting, ia juga sangat selamat. Pasti ramai yang akan kagum melihat kawanan ikan pari berenang di bawah kaki sendiri. Namun para pengunjung dinasihati supaya jangan menyentuh atau cuba memegang ikan-ikan pari tersebut.

Di situ terletaknya Taka Makassar, sebuah persisiran pantai kecil yang menjadi lokasi hebat untuk mengambil gambar. Dan di penghujungnya, lawatan seharian akan diakhiri dengan aktiviti renang dan snorkel di Pulau Kanawa.

Gerbang masuk ke Taman nasional Komodo di Pulau Komodo.

Selain itu terdapat juga lawatan menaiki bot laju selama separuh hari dari pukul 10 pagi hingga ke tiga petang ke pulau-pulau lain seperti Pulau Rinca, Pulau Kelor dan juga Menjerite yang juga menawarkan keindahan alam semula jadi yang luar biasa di darat dan juga di dalam lautan.

Secara umum, Flores dan pulau sekitarnya di Nusa Tenggara Timur memang merupakan syurga kecil yang tersembunyi di bumi Indonesia. Selain ideal untuk para pencinta aktiviti menyelam dan pendakian ringan, ia juga sesuai buat keluarga dan pasangan yang inginkan percutian yang menenangkan.

Jika berkesempatan ke Indonesia lagi, cubalah singgah ke kawasan ini, dan nikmati sendiri keindahannya!

*** Penerbangan ke Labuan Bajo telah dibantu oleh Garuda Indonesia.

Naga Komodo, Pulau Flores

Artikel Lain