suria

Pak Ya pertahan keaslian asam pedas Muar

Yahya Saipar, 69, mencedok asam pedas yang merupakan menu istimewa di gerainya Asam Pedas Pak Yahya di Medan Asam Pedas Parit Jawa, Muar. -fotoBERNAMA

MUAR: Kecintaan terhadap masakan asam pedas Muar menyebabkan bekas anggota Rejimen Askar Melayu Diraja, Yahya Saipar, 69, terus mengekalkan keaslian masakan tradisional Melayu itu sehingga hari ini.

Yahya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Ya dalam kalangan penduduk di sekitar Pantai Leka, Parit Jawa berkata beliau terus mengekalkan ramuan asal kerana ingin memelihara identiti asal masakan yang popular di negeri Melaka dan Johor itu.

Pak Ya berkata beliau tidak pernah menambah mahupun mengurangkan ramuan asal masakan itu sejak mula berniaga 10 tahun yang lalu.

"Saya tidak pernah belajar memasak daripada sesiapa pun, resipi asam pedas Muar ini saya cipta sendiri," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata masakan asam pedasnya mendapat pengiktirafan sebagai asam pedas Johor tulen daripada Perbadanan Negeri Johor (makanan dan perkhidmatan restoran) malah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sendiri pernah memberi pengiktirafan tersebut secara lisan ketika makan ke kedainya  pada tahun 2004.

"Bahan asas yang diguna sebagai ramuan masakan asam pedas Muar ialah cili, halia, kunyit, bawang merah dan bawang putih sahaja, berbeza dengan masakan asam pedas tempat lain yang menambah belacan, udang kering atau lobak jeruk ke dalam masakan mereka," katanya.

Beliau yang merupakan orang kurang upaya (OKU) apabila kaki kanannya terpaksa dipotong pada Mac 2014 setelah dijangkiti kuman berkata bagi memastikan bahawa asam pedas yang dihidangkan mampu memberi kepuasan kepada pelanggan, beliau hanya menggunakan ikan tempatan yang dibeli secara terus daripada nelayan di sekitar Pantai Leka, Parit Jawa sahaja.

"Saya hanya masak ikan tempatan antaranya ikan merah, kembung, tenggiri dan siakap sahaja," katanya yang dibantu oleh 10 pekerja tetap.

Pak Ya berkata walaupun harga bahan mentah sentiasa naik, beliau terus mengekalkan harga sama sejak mula berniaga kerana berpegang kepada prinsip berniaga bukan hanya untuk mencari untung semata-mata.

Beliau berkata atas faktor kesihatan yang semakin merosot, anaknya Mohd Syafiq Abdul Kadir, 26, akan mengambil alih kedainya tidak lama lagi.

"Sekarang ini kerja memasak dilakukan oleh anak saya, Mohd Syafiq dan saya hanya memantau beliau memasak setiap hari agar rasa dan sukatan ramuan menepati resipi asal.

"Besar harapan saya agar beliau (Mohd Syafiq) dapat meneruskan keaslian masakan asam pedas Muar agar ianya dapat dinikmati oleh generasi akan datang apabila saya dah tiada nanti," katanya.

-Bernama

Artikel Lain