suria

Nikmat, Nostalgia ‘Kopi-Kopi’ Dalam Gua

PASTI ramai antara kita tidak pernah membayangkan bagaimana nikmatnya apabila secangkir teh atau kopi kampung panas dapat dihirup di sebuah kedai kopi yang terletak di dalam gua batu kapur yang dingin suasananya.

Bayangkan juga ketika anda duduk berbumbung dan berdindingkan batu kapur itu, seseorang datang bersama cerek besar lantas menuangkan teh atau kopi panas ke dalam cawan antik yang sudah tersedia di depan anda.

Dan, duduk bersantai di situ tidak sempurna kiranya minuman yang anda nikmati itu tidak ‘digandingkan’ dengan biskut atau sekurang-kurangnya sekeping roti bakar.

Suasana ‘kopi-kopi’ nostalgia seperti ini hanya dapat dinikmati di Dulang Tea House yang menjadi sebahagian daripada tarikan di taman tema Lost World of Tambun yang terletak di Tambun, Perak.

Tidak seperti kedai kopi atau kopitiam lain, dekorasi dan menu ‘orang lama’ yang diketengahkan di sini mampu menggamit memori silam atau membuatkan tetamunya mengimbau kembali hidangan dan persekitaran yang pasti pernah dirasai ketika zaman kanak-kanak dahulu.

Lebih mengusik jiwa apabila sebuah peti televisyen dengan tayangan gambar hitam putih turut dipasang untuk membangkitkan suasana klasik.

Andai singgah di kafe yang terletak di bahagian Lost World Tin Valley ini, anda disarankan untuk mencuba beberapa hidangan istimewanya seperti roti tumbuk, roti mayat dan air beras perang.

Bagi yang tidak tahu, roti tumbuk adalah campuran biskut lutut dan roti mayat yang ditumbuk dan kemudian digaul dengan kelapa parut, gula merah dan garam.

Air beras perang yang menyejukkan badan pula dibuat dengan cara yang agak unik apabila air beras dimasak sehingga naik aroma hangit dan kemudian dicampur dengan gula merah dan daun pandan.

Selain itu, anda juga boleh mencuba roti bakar arang bersama kari ayam atau ‘homemade’ kaya dan telur ayam kampung yang tak kurang enaknya.

Pendek kata, hidangan yang ada di sini biasanya dinikmati oleh orang dulu-dulu termasuklah pendulang-pendulang bijih timah di Lembah Kinta sekitar tahun 1900-an.

Yang pasti minum petang dalam suasana sejuk batu kapur dan dikelilingi tumbuh-tumbuhan menghijau tentunya menyempurnakan percutian anda ke sini.

Sebenarnya, selain Dulang Tea House, di sini juga terdapat tempat untuk anda sekeluarga cuba melakukan aktiviti mendulang bijih timah yang pernah menjadi sumber ekonomi dan aktiviti penduduk di Perak suatu masa dulu.

Tidak cukup dengan itu, anda juga berpeluang untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang sejarah dan cara memproses bijih timah menerusi persembahan dan demonstrasi Tin Story yang diadakan setiap hari, kecuali Selasa jam 3.30 petang.

Oh ya, sebelum meninggalkan Lost World Tin Valley, jangan lupa untuk bergambar dengan replika gajah, haiwan yang dahulunya digunakan untuk mengangkut bijih timah ke depot.

Selain tarikan ini, The Lost World of Tambun juga terkenal dengan taman tema air dan pelbagai permainan, bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa.

Tidak keterlaluan dikatakan sehari suntuk berada di sini memang berbaloi kerana kawasannya yang luas dan banyak bahagian perlu diteroka sepenuhnya, termasuklah 'petting zoo' dan Hot Spring and Spa By Night yang meriah pada waktu malam.

Usah bimbang tentang makanan kerana selain Dulang Tea House, di sini juga disediakan sebuah medan selera, deretan kiosk dan Ipoh Street yang menjual makanan berat dan snek.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain