Teong Kim gembira, pencapaian Luqman ikat kontrak KV Kortijk bukti NFDP tak gagal - "Ibu bapa atau keluarga perlu ada sama di Belgium" - Sukan | mStar

Teong Kim gembira, pencapaian Luqman ikat kontrak KV Kortijk bukti NFDP tak gagal - "Ibu bapa atau keluarga perlu ada sama di Belgium"

Teong Kim mengakui gembira dengan kuputusan Luqman ke Belgium.

LIM Teong Kim mengakui gembira dengan pencapaian anak didiknya yang lahir dari Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Luqman Hakim Samsudin.

Luqman,17, telah menandatangani kontrak untuk beraksi bersama kelab liga utama Belgium KV Kortrijk yang dimiliki hartawan terkenal Tan Sri Vincent Tan.

Menurut Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu, Luqman membuktikan bahawa program NFDP berada di landasan betul seperti yang ada dalam 'blue print' NFDP sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: "If your pay peanut, you get monkeys”, Teong Kim mahu pulang ke Munich selepas kontrak berakhir

ARTIKEL BERKAITAN: Teong Kim hargai pemain dan penyokong guna #SaveLTK, akui ada bertemu TMJ

"Ia juga membuktikan pandangan sesetengah orang sebelum ini mengatakan NFDP 'gagal' adalah tidak benar.

"Luqman antara pemain awal dalam program ini dan ada lagi ramai pemain yang mampu pergi jauh sepertinya.

"Kontrak lima tahun yang ditandatangi Luqman sangat baik dan saya menggalakkan dia pergi ke sana kerana ia sebuah liga yang bagus," ujar Teong Kim kepada mStar.

Luqman  (kanan) bersama pemilik kelab K.V Kortijk, Vincent.


Teong Kim yang menganggap pemain-pemain NFDP seperti anaknya menjelaskan, Luqman akan berdepan dengan cabaran besar sekiranya dia tidak dipersiapkan dengan baik.

"Tinggal berseorangan di Eropah tidak sama dengan berada di negara sendiri. Kita perlu siapkan dia dari aspek psikologi dan emosi. 

"Luqman akan pergi ke sana dalam musim sejuk yang jauh berbeza dengan cuaca di sini.

"Dia perlu dipersiapkan dengan pakaian mengikut musim berbeza di Eropah. Mungkin ia nampak seperti perkara kecil, hakikatnya pakaian yang sesuai akan membantu sepanjang latihannya nanti, lebih-lebih lagi ketika musim sejuk.

"Keduanya, bermula sekarang Luqman perlu diajar mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis (Belgium bercakap dalam bahasa Perancis).

"Perkara utama adalah komunikasi untuk dia mudah menyesuaikan diri di sana," jelas bekas pengendali Akademi Remaja Bayern Munich ini.

Kata Teong Kim lagi, sebagai individu yang pernah berkelana di Eropah dan masih tinggal di Jerman, dia turut memberi nasihat paling penting kepada pemain muda ini.

"Cabaran paling besar yang dia akan hadapi adalah penyesuaian diri. Sebab itu saya harap sepanjang dia berada di Eropah, perlu ada ibu bapa atau ahli keluarga di sana untuk membantunya.

Teong Kim bersama skuad muda NFDP ketika Siri Jelajah Eropah 2015.

"Dia mungkin berdepan tekanan emosi jika tidak ada ahli keluarga terdekat dalam setahun atau dua tahun.

"Dalam tempoh menyesuaikan diri jika ahli keluargannya ada bersama tentu dia tidak akan rasa sunyi, tidak akan rasa bosan kerana berada jauh dari negara sendiri.

"Ini kerana tinggal di negara asing keseorangan menjadikan waktu terasa lebih panjang berbanding jika ada rakan-rakan atau ahli keluarga.

"Saya tidak mahu satu hari nanti dia persoalkan dirinya 'kenapa ada di sini'. Sebab itulah saya sangat berharap perlu ada ahli keluarga bersama.

"Saya bercakap mengenai pengalaman kerana ketika mengendalikan akademi remaja dahulu ramai yang tidak berjaya kerana lonely," ujarnya.

Tambah Teong Kim, apa yang penting minda Luqman perlu sentiasa tenang supaya dia boleh menjalani latihan bersama kelab dengan lancar.

"Apabila sampai di sana, bola sepak hanya perkara kedua kerana minda yang tenang memainkan peranan penting untuk belajar atau berlatih dengan baik.

"Apa pun saya gembira dengan Luqman dan saya lebih gembira jika dia happy di sana," jelasnya.

Teong Kim bakal meninggalkan AMD pada 31 Oktober ini sebaik sahaja kontraknya tamat dan dijangka kembali ke Bayern Munich untuk meneruskan kariernya.

Sebelum berangkat ke Belgium, Luqman akan bersama pasukan Cardiff City yang juga milik Vincent menjalani latihan selama tiga bulan sebelum mencapai usia 18 tahun.

KV Kortrijk kini berada di tangga ke-11 liga utama Belgium.

Lim Teong Kim , Luqman Hakim , Belgium

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Chelsea ikat bintang muda Hudson-Odoi

Artikel Berkaitan

Artikel Lain