suria

Teong Kim hargai pemain dan penyokong guna #SaveLTK, akui ada bertemu TMJ

Teong Kim gembira dengan pemain-pemain muda hasil daripada DNA NFDP yang sedar dengan perubahan diri masing-masing.

PENGARAH Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim tidak mengharapkan pujian untuk dirinya, tetapi dia amat menghargai inisiatif segelintir peminat dan pemain-pemainnya yang menggunakan #SaveLTK.

Hashtag atau tanda pagar tersebut menjadi ikutan kepada peminat-peminat skuad pembangunan selepas Teong Kim mengumumkan akan kembali ke Bayern Munich selepas kontraknya bersama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berakhir 31 Oktober ini.

Jelas Teong Kim, tugasnya dalam merencanakan program pembangunan bakal berakhir walaupun baru lima tahun mengendalikan pasukan DNA negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Teong Kim tekad pulang ke Munich selepas kontrak berakhir, “Saya bukan monyet”

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan campur urusan AMD! - Teong Kim akhirnya bersuara pertahankan program NFDP

Bekas pengendali akademi Bayern Munich ini dilantik mengendalikan NFDP pada Ogos 2013.

"Sungguh menghargai kejujuran mereka terhadap kerja saya dan semua jurulatih AMD kerana kita dapat lihat mereka menerima pembelajaran yang disampaikan.

Teong Kim bersama pemain-pemain mudanya ketika siri Jelajah Eropah 2015.

"Mereka masih muda dan tahu apa yang berubah dalam kehidupan sendiri. Ia adalah salah satu DNA NFDP iaitu supaya menjadi manusia yang berharga.

"Apa yang mereka cuba sampaikan adalah sesuatu yang jujur, memahami sumbangan semua jurulatih terlibat di bawah pengurusan ini.

"Mereka tahu menilainya. Saya sangat berbangga dengan pelatih-pelatih NFDP," jelasnya ketika dihubungi mStar.

#SaveLTK juga menjadi trending di laman Twitter


Tambah Teong Kim, dia juga terharu dengan sokongan peminat-peminat pembangunan bola sepak negara ini yang sentiasa menyokongnya.

"Saya menghargainya. Mereka sentiasa ada bersama saya walaupun ketika dalam keadaan sukar.

"Sebagai jurulatih pasukan pembangunan, kemungkinan untuk dilupakan memang ada. Jadi saya tidak kisah kerana telah melakukan tugas saya di sini sepenuhnya.

"Apabila seseorang pemain muda mengingati sumbangan jurulatih, itu sudah cukup baik.

"Saya tidak menyuruh mereka berbuat demikian. Sebelum ini pun, bekas pelatih saya di Bayern Munich Thomas Muller pun berbuat demikian walaupun ketika itu dia sudah bergelar bintang," tambahnya.

Peminat-peminat bola sepak tempatan turut menggunakan #SaveLTK di Facebook.

Dalam pada itu, Teong Kim turut mengakui ada berjumpa dengan pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim minggu lalu.

"Ya, saya dijemput ke sana dan kami hanya berkongsi mengenai program pembangunan remaja sahaja," ujarnya ringkas.

Hubungan Teong Kim dan TMJ bukan sesuatu yang baharu memandangkan jurulatih itu sebelum ini pernah ke Johor beberapa kali sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tunku Ismail Orang Berani, Yang Lain Penakut" - Lim Teong Kim

Malah Teong Kim pernah memberitahu hanya Tunku Ismail sahaja orang yang berani bersuara tentang bola sepak tanah air.

Laporan mStar pada 4 Jun 2015, mendedahkan bahawa ramai yang tidak ada 'telur' dalam mengeluarkan pendapat atau kritikan kerana masing-masing hanya pentingkan diri sendiri serta ada agenda tersendiri.

Menurut Teong Kim, apa yang dilakukan oleh Johor Darul Takzim adalah sesuatu yang bagus dengan pelan pembangunan bola sepak, akademi serta padang sendiri.

Namun malangnya, hanya Johor satu-satunya pasukan di Malaysia  yang serius untuk melihat bola sepak yang dipanggil pekerjaan 'profesional'.

Lim Teong Kim, NFDP, Bayern Munich

Artikel Lain