GP Dunia ONE Lightweight: Ev Ting sedia gegar 'kandang' di Kota Singa - Sukan | mStar

GP Dunia ONE Lightweight: Ev Ting sedia gegar 'kandang' di Kota Singa

Ev Ting (kanan) dijangka akan beri aksi sengit pada perlawanan di Singapuran 22 Februari ini.

PETARUNG  Malaysia, Ev 'E.T' Ting sedang menjalani persediaan menjelang saingan suku akhir Grand Prix Dunia ONE Lightweight.

Pemuda berusia 29 tahun itu dijadualkan bertemu pesaing dari Turki, 'Dagi Saygid Guseyn Arslanaliev pada 22 Februari ini di acara ONE: Call To Greatness  yang akan berlangsung di Singapura.

Apa yang pasti perlawanan ini menjanjikan pertarungan yang sengit.Ting yang kini berada dalam divisyen lightweight, merupakan atlet yang berkebolehan tinggi dan disegani, manakala, lawannya adalah petarung yang mempunyai reputasi sebagai seorang tidak mengenal erti putus asa dalam mengejar kemenangan.

Kedua-dua mereka secara keseluruhannya mempunyai sembilan rekod kemenangan pusingan pertama, dengan Ting memegang empat rekod dan Arslanaliev mencatatkan lima rekod kemenangan.

Pada perlawanan terakhirnya, atlet Rusia kelahiran Turki itu, hanya mengambil masa kurang dari dua minit untuk menewaskan lawannya, Timofey Nastyukhin, pada acara ONE: Conquest Of Heroes yang berlangsung pada September tahun lalu.

Kali ini, peminat berpeluang sekali lagi untuk menyaksikan aksi hebat itu daripada Arslanaliev, pada pertarungan 22 Februari ini.

Ev Ting bakal  gegar kandang di Kota Singa.

Pada masa yang sama, dengan berbekalkan lebih 20 pertarungan, atlet Malaysia kelahiran New Zealand, Ev Ting, juga tidak kurang hebatnya ketika beraksi dalam gelanggang, malah dia sangat mahir dan mampu mengatasi setiap halangan ketika bertarung.

Walaupun sedar akan bahaya yang menanti pada perlawanan menentang Arslanaliev, Ting yakin beliau mempunyai kemahiran yang cukup untuk menyelesaikan tugasnya pada malam itu.

“Arslanaliev adalah petarung yang hebat dan merupakan kuasa besar dalam sukan ini. Pukulannya tepat pada sasaran, namun dia hanya berjaya mencatatkan enam pertarungan sepanjang kariernya.

“Justeru itu, saya mempunyai pengalaman serta keazaman yang lebih tinggi untuk bekerja keras demi kemenangan pada malam itu," ujarnya.

Selepas berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut menentang Ariel Sexton dan Koji Ando pada pertengahan pertama 2018, Ting kemudian mengalami sedikit kekecewaan apabila ditewaskan oleh bekas Juara Dunia ONE Lightweight, Shinya Aoki, pada pertarungan Oktober tahun lalu.

“Tahun lalu merupakan tahun yang besar buat saya, ia merupakan tahun pertama saya menjadi atlet profesional sepenuh masa.

“Saya berjaya meraih dua kemenangan dan pada masa yang sama turut tewas kepada Shinya (Aoki). Namun, sejak kekalahan itu, saya semakin sihat dan berjaya meraih tali pinggang ungu, malah, kebolehan saya juga masih tajam seperti sebelum ini. Saya kini sedang membuat persiapan bagi perlawanan itu di Pulau Bali, dengan berlatih bersama-sama rakan sepasukannya yang lain di Bali MMA.


“Saya kini kembali dengan rutin iaitu makan, berlatih, tidur dan mengulanginya, dua atau tiga kali sehari. Ia adalah suatu perkara yang bagus.

“Bali MMA merupakan gim seni mempertahankan diri campuran (MMA) yang terbaik di Asia pada saat ini, malah, ia juga telah berkembang dengan cepat.

“Setiap hari, kita mempunyai sekurang-kurangnya lima pemegang tali pinggang hitam. Mereka adalah pasukan yang kuat dan perkara itu diakui sendiri oleh atlet di sini,” katanya.

Menjelang detik perlawanan, Ting membuat persediaan yang rapi dengan memastikan dirinya berada dalam keadaan fizikal dan mental yang baik untuk berdepan ujian yang bakal menanti.“

Saya sudah melakukan latihan sekuat yang mampu bagi memberikan persembahan terbaik untuk semua. Saya tahu bahawa perlawanan ini sangat dinanti-nantikan dan ramai orang kenamaan akan berada di situ.

“Tidak kira apa yang berlaku ketika latihan, apa yang penting adalah melakukan yang terbaik sepanjang tempoh 15 minit ketika beraksi dalam gelanggang,” katanya.

Walaupun tiada siapa yang dapat meneka apa yang bakal terjadi pada perlawanan malam itu. Namun apa yang pasti, dengan meletakkan Ting dan Arslanaliev menentang satu sama lain, segala kemungkinan boleh berlaku dan ianya pasti akan meninggalkan pelbagai memori yang tidak dapat dilupakan.

Artikel Lain