suria

Bahang saingan final Msia-Vietnam makin membara, 'ekor' Harimau Malaya penuhi Kompleks Sukan Negara

Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka penuh selepas 80,000 tiket habis dijual.

KUALA LUMPUR: Hanya beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan final pertama Piala AFF Suzuki 2018, puluhan ribu penyokong Harimau Malaya sudah mula berkampung sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malahan, ada dalam kalangan 'ekor' skuad negara yang sampai ke lokasi sejak lewat malam Isnin lagi dan berkhemah di situ bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan pada hari saingan antara Malaysia menentang Vietnam.

Wakil Ultras Malaya (UM) memberitahu kepada mstar Online kira-kira 5,000 penyokong Harimau Malaya akan berada dalam stadium malam ini.

“Semua akan berkumpul di check-point masing-masing dan lebih kurang 4.30 petang akan mula berarak ke stadium.

“Selain UM, ada juga penyokong lain yang bersama kami malam ini. Ada kelainan kerana masing-masing dengan pelbagai banner dalam stadium nanti," jelasnya.

Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka penuh selepas 80,000 tiket habis dijual, di tambah kira-kira 15,000 lagi yang akan memenuhi ruang di Axiata Arena apabila skrin gergasi akan dipasang untuk menayangkan siaran langsung perlawanan malam ini.

Penyokong daripada persatuan OKU Sentral.

Terdapat juga pelbagai jualan di gerai-gerai yang disediakan termasuk ‘food-truck’, serta jersi Malaysia.

Selesai perlawanan edisi pertama final ini, Malaysia akan berangkat ke Hanoi pada Sabtu bagi penentuan pasukan mana yang akan menjulang piala yang menjadi rebutan kali ini.

Sementara itu, seramai 40 ahli Persatuan OKU Sentral turut hadir memberi sokongan, diketuai pengasasnya, Ras Adiba Radzi yang mengajak ahlinya memeriahkan aksi final malam ini.

Salah seorang daripadanya, Nur Zawani Abd Wahab memberitahu, tawaran itu dibuat menerusi Facebook Ras Adiba Adiba berdasarkan siapa cepat dia dapat.

"Alhamdullilah saya terpilih dan tiba dari Kedah pada pukul 3 petang tadi, malah ada yang dari Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Harimau Malaya, UM, Bukit Jalil, Vietnam

Artikel Lain