“Saya harap Malaysia menang, mungkin satu, dua gol pun cukuplah” - Tun M - Sukan | mStar

“Saya harap Malaysia menang, mungkin satu, dua gol pun cukuplah” - Tun M

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Harimau Malaya akan menang pada pertemuan pertama final Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam Selasa.

"Saya harap Malaysia menang, mungkin satu, dua gol pun cukuplah,” katanya apabila ditanya mengenai ramalan keputusan perlawanan berkenaan semasa ditemu bual dalam program Bicara Khas Bersama Perdana Menteri di RTM pada Isnin malam.

Sepak mula perlawanan yang dijangka sengit itu ialah pada 8.45 malam..

Dr Mahathir juga melihat bidang sukan sebagai faktor yang berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan latar belakang.

Mengambil contoh jaguh badminton tersohor negara Datuk Lee Chong Wei, beliau berkata apabila Chong Wei memenangi sesuatu perlawanan, ia menjadi kebanggaan semua rakyat Malaysia.

"Di Malaysia, kita terdiri daripada pelbagai kaum, sudah tentu ada perbezaan antara kaum. Tapi dalam bidang sukan kita bersama, yang nak kita lihat ialah kemenangan kepada Malaysia.

"Sebab itu sukan adalah satu acara yang baik bagi kita. Pada masa itu kita lupa tentang keturunan, suku kaum apa dan kita sedar itu adalah pasukan Malaysia dan kita orang Malaysia, kita nak pasukan Malaysia menang,” kata Dr Mahathir.

Semasa menerima kunjungan skuad kebangsaan di Perdana Putra, Jumaat lepas, Dr Mahathir dipetik berkata: “Jangan kecewakan saya dan negara  kita.”

Perdana menteri dijangka turut hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan itu bersama-sama kira-kira 80,000 rakyat Malaysia.

Perlawanan akhir kedua akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam Sabtu ini. - Bernama

Piala AFF Suzuki 2018 , Dr Mahathir

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel