suria

Umno Hargai Atlet Olimpik, Paralimpik Negara

Najib Tun Razak (tiga, kanan) ketika bergambar dengan atlet Olimpik dan Paralimpik negara pada majlis penghargaan Wira dan Wirawati Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC pada Jumaat. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri). Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Kejayaan kontinjen negara pada Sukan Olimpik dan Paralimpik di Rio baru-baru ini terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak bagi menghargai keringat wira dan wirawati negara dalam menjulang nama Malaysia di mata dunia.

Kejayaan atlet negara di arena berprestij dunia itu turut dikongki bersama pihak Umno yang tampil memberi penghargaan kepada semua yang terlibat di Brazil.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, pencapaian wira dan wirawati di Sukan Olimpik dan Paralimpik adalah luar biasa dan perlu diberi penghargaan yang berterusan.

"Saya mahu kejayaan mereka ini menjadi iktibar, rangsangan serta inspirasi kepada kita semua, bukan sahaja sebagai ahli sukan tetapi kualitinya, nilainya dan komitmen mereka ini telah membuktikan bahawa kalau boleh berjaya dalam bidang sukan, mereka boleh berjaya dalam bidang politik.

"Saya nak supaya kejayaaan kita ini sebagai batu loncatan untuk merai kejayaan yang lebih besar dalam bidang sukan kerana sukan menaikkan semangat, sukan boleh menjadikan satu bidang yang popular dalam masyarakat," jelasnya pada majlis penghargaan wira dan wirawati Olimpik dan Paralimpik di PWTC pada Jumaat.

Pada majlis tersebut, atlet-atlet yang berjaya meraih pingat emas menerima hadiah wang tunai bernilai RM30,000 dan trofi, pemenang pingat perak meraih RM20,000 serta trofi, manakala pemenang pingat gangsa membawa pulang RM10,000 bersama trofi.

Selain  itu, olimpian dan paralimpian serta jurulatih juga turut menerima cenderahati berupa trofi sebagai penghargaan mereka bersaing di Brazil biarpun gagal meraih sebarang pingat.

Pada aksi Sukan Paralimpik di Rio baru-baru ini, kontinjen negara berjaya meraih tiga  pingat emas menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 serta pemenang pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20.

Manakala kontinjen Malaysia meraih pingat perak menerusi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran), beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Pandelela-Cheong Jun Hoong (terjun) dan Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan pingat gangsa menerusi Azizulhasni Awang (berbasikal) pada Sukan Olimpik.

Selain perdana menteri, turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta anggota-anggota tertinggi Umno termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta atlet pelapis di bawah 'Program Kita Juara'.

Umno Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain