suria

F1 Malaysia: Renault Syak Minyak Bocor Punca Kebakaran

Kereta Renault yang dipandu Kevin Magnussen terbakar di garaj pasukan renault Sport F1 Team sebelum memulakan sesi latihan pertama menjelang Perlumbaan Formula One (F1) Petronas Malaysian Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pagi Sabtu. Foto: Bernama

SEPANG: Renault percaya masalah sistem sedutan minyak menjadi punca kebakaran membabitkan kereta dipandu Kevin Magnussen sewaktu sesi latihan bebas di Litar Antarabangsa Sepang, pagi Jumaat.

Menurut kenyataan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), pemandu Renault Sport F1 Team, Magnussen baru menamatkan pusingan pemasangan pertamanya dan kenderaannya sedang dibawa ke garaj pasukan apabila api bermula di bahagian atas enjinnya.

Pemandu itu sempat melompat keluar daripada kereta tersebut dan pegawai pasukan segera memadamkan api, namun kebocoran minyak menyebabkan kereta berkenaan terus terbakar.

Insiden itu mengambil masa hampir 10 minit sebelum kebakaran dapat dikawal.

Pengarah Teknikal Renault, Nick Chester berkata petanda awal menunjukkan berlaku tekanan di tangki minyak dan beliau yakin Magnussen, yang tidak mengalami kecederaan dalam insiden itu, mampu beraksi dalam sesi latihan bebas kedua .

"Berlaku kebocoran pada sistem sedutan minyak. Ada tekanan pada tangki dan kami akan melakukan pemeriksaan rapi.  

"Kami mengisi minyak penuh dalam tangki dan sedang melakukan ujian pada beberapa bahagian sebagai persediaan untuk perlumbaan di Mexico nanti.

Pemasangan kenderaan ini adalah berbeza dengan satu lagi kereta pasukan (yang dipandu Jolyon Palmer).

"Namun apa yang penting semua anggota pasukan tidak terjejas. Mujur juga kereta itu tidak mengalami kerosakan teruk dan kami akan usahakannya untuk digunakan untuk sesi latihan bebas kedua.

"Sudah pasti banyak kerja yang harus dilakukan, selain perlu membersihkannya tetapi kami akan cuba membolehkannya (Magnussen) menguji kenderaan itu sebaik mungkin sewaktu sesi latihan itu," kata Chester.-Bernama

F1 malaysia, Renault terbakar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain