suria

Calon Presiden FAS Masih Jadi Teka-Teki

KUCHING: Selepas hampir dua minggu tanpa pemimpin, teka-teki tokoh yang bakal mengisi kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) masih belum terjawap.

Ini diakui Timbalan Presiden FAS Abdul Wahab Rahim yang menegaskan beliau akan memangku tugas presiden sehingga mesyuarat agung tahunan (AGM) diadakan.

Biarpun tanpa presiden ketika ini, Abdul Wahab memberi jaminan masalah penajaan yang boleh menjejaskan persiapan pasukan tahun depan tidak timbul.

"Kita menerima sokongan daripada Ketua Menteri (Tan Sri Adenan Satem) malah beliau sendiri telah mengarahkan individu tertentu untuk bersama dan membantu kami terutama mengenai tajaan.

"Jadi, kami tidak terlalu bimbang dengan perkara ini kerana banyak yang akan  membantu. Saya boleh pastikan kita mampu bergerak seperti musim sebelum ini.

"Biarpun kami masih mencari calon untuk mengisi jawatan presiden, pembangunan bola sepak di negeri ini akan turut diberi perhatian," katanya pada sidang media program 'Million Dollar Feet (MDF)', di sini Jumaat.

AGM FAS pada 17 Sept lepas menyaksikan tiada calon yang berminat mengisi kerusi presiden selepas Datuk Sudarsono Osman tidak mempertahankan jawatan itu sebaik penggalnya berakhir.

Ketika ditanya sama ada pasukan Sarawak akan dirombak termasuk staf kejurulatihan, Abdul Wahab berkata perkara tersebut hanya akan diputuskan selepas dinilai sebaik perlawanan terakhir Liga Super, Oktober nanti.

Mengulas mengenai MDF, Abdul Wahab berkata adalah menjadi harapan FAS supaya program pembangunan akar umbi di negeri ini dapat menghasilkan bakat baharu yang mampu mewakili bukan sahaja negeri, malah beraksi di Eropah.

Sementara itu, menurut Pengarah Bola Sepak MDF, Peter de Kretser, MDF yang diterajui bekas pemain England yang juga legenda Liverpool, Steve McMahon akan mengadakan latihan dan sesi pemilihan di Sarawak pada 8-9 Okt ini bagi mencari bakat muda.

Katanya pemilihan akhir akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 23 Okt untuk memilih dua pemain bagi menjalani pengalaman latihan selama 10 hari di United Kingdom, sambil berpeluang menunjukkan bakat di hadapan pencari bakat kelab utama Eropah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain