suria

Saya Yakin Saya Menang - Pacquiao

Aksi Pacquiao (kiri) ketika membuat serangan ke atas Mayweather.

PETINJU kelahiran Filipina, Manny Pacquiao yakin dia telah berjaya menewaskan Floyd Mayweather walaupun keputusan juri memihak kepada petinju dari Amerika Syarikat itu dalam pertarungan yang dianggap terbesar abad ini di Grand Garden Arena pada Ahad.

Keputusan juri itu menyebabkan Pacquiao,36, gagal meleburkan rekod tidak pernah tewas Mayweather sebagai petinju profesional dengan rekod terbaharu 48-0.

"Ia pertarungan yang bagus. Saya fikirkan saya yang menang. Dia tidak melakukan apa-apa dan terlalu banyak bergerak sekitar gelanggang malah sukar untuk melepaskan tumbukan kepadanya. Jika dia berada hanya satu tempat, sudah tentu saya dapat menumbuknya.

"Malah saya dapat menyekat tumbukannya dan menyerang. Saya mahu bertarung.

"Saya juga berjaya menumbuknya beberapa kali dan saya dapat lihat ketika dia cuba membuat tumbukan," katanya.

Pacquiao berkata, saiz fizikal bukan masalah kepadanya sehingga tewas kepada Mayweather.

"Saya pernah bertarung dengan lawan yang lebih besar daripadanya.

"Pada anggapan sendiri, saya yakin telah mendahuluinya, sebab itulah saya tidak menyerang bersunguh-sungguh pada pusingan 11 dan 12," katanya.

Dalam pada itu, jurulatihnya, Freddie Roach mendedahkan bahawa Pacquiao mengalami kecederaan ketika sesi sparring.

"Keputusan ujian imbasan MRI mendapati ada kecederaan di bahagian bahu kanan dan dia amat sedih ketika menerima berita itu, namun Pacquiao tetap menunjukkan peningkatan dan bersedia untuk bertarung," katanya.

Meskipun tewas dalam perlawanan welterweigh yang diatur sejak lima tahun lalu itu, namun Pacquiao atau Pacman  tetap meraih wang perkongsian perlawanan sebanyak AS$120 juta (RM431 juta).

Manny Pacquiao, Floyd Mayweather

Artikel Lain