suria

Nicol Mara Ke Suku Akhir Kejohanan Individu Asia

Nicol David.

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David mara ke suku akhir Kejohanan Individu Asia 2015 di Kompleks Skuasy Antarabangsa Sheikh/Salem Al-Sabah, Kuwait.

Beliau mengambil masa hanya 20 minit untuk mengalahkan pilihan ke-10 kejohanan Vanessa Chu dari Hong Kong 11-3, 11-1 dan 11-4 dalam pusingan kedua pada Sabtu.

Nicol selaku juara Asia lapan kali akan bertemu rakan Chu iaitu Liu Tsz Ling dalam lapan perlawanan akhir pada Ahad.

Liu selaku pilihan ketujuh mara ke pusingan seterusnya apabila mengalahkan pilihan ke-14 Mihiliya Methsarani dari Sri Lanka 11-4, 11-3 dan 11-5 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Yang turut layak ke suku akhir ialah pemain adik beradik negara Rachel dan Delia Arnold.

Rachel pilihan kelapan mengalahkan pilihan ke-16 Lee Ji-Hyun dari Korea Selatan 3-11, 12-10, 12-10 dan 11-4 sementara kakaknya Delia mengalahkan rakan Lee, Yang Yeon-Soo 11-5, 9-11, 11-5 dan 11-8. 

Seorang lagi pemain negara Vanessa Raj kalah 6-11, 5-11 dan 4-11 kepada pilihan kedua Dipika Pallikal dari India.

Pemain lelaki negara tidak mempunyai wakil di suku akhir setelah terkeluar di pusingan awal.

Nicol David

Artikel Lain