suria

Khairy Cadang Sabah, Sarawak Venue Beberapa Acara Sukan SEA 2017

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mencadangkan Sabah dan Sarawak sebagai venue untuk beberapa acara sukan pada Sukan SEA 2017.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan cadangan beliau untuk memasukkan kedua-dua negeri dalam sukan antarabangsa itu yang mana Malaysia menjadi tuan rumah kali terakhir pada tahun 2009.

"Kita akan membangkitkan perkara ini kepada Kabinet dan melihat kosnya," kata Ahli Parlimen Rembau ini selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pemuda Umno Kota Belud.

Beliau berkata sambutan awal daripada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman adalah positif manakala kerajaan negeri Sarawak juga terbuka terhadap cadangan berkenaan.

Khairy berkata, kementerian sedang menyediakan kertas kerja untuk Kabinet dan jika kos itu dipersetujui, negara akan membida untuk Sukan SEA 2017.

"Ini adalah penting untuk perancangan jangka panjang bagi memastikan kemudahan yang mencukupi dan pembangunan di kedua-dua negeri," kata Khairy, sambil menambah langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk memastikan pembangunan belia dan kemudahan sukan yang seimbang di seluruh negara termasuk di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar.

"Program pembangunan belia mesti sampai ke peringkat akar umbi dan cabaran untuk kita di negeri-negeri seperti Sabah adalah taburan penduduk, terutamanya di kawasan luar bandar," kata Khairy.

Beliau berkata kementerian telah memikirkan pendekatan yang inovatif untuk memastikan belia di luar bandar mendapat manfaat daripada program-program kementeriannya.

Khairy berkata antara perkara-perkara yang telah dilihat ialah pembinaan sebuah litar perlumbaan kereta di Kota Belud.

Beliau membincangkan cadangan ini dengan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pemain Termahal Eropah Musim Ini

Artikel Lain