suria

Sung Ji Hyun Sumbang Mata Kemenangan Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita nombor enam dunia, Sung Ji Hyun melahirkan rasa gembira selepas menyumbangkan mata kemenangan untuk Korea Selatan mara ke perlawanan akhir kejohanan badminton Piala Sudirman 2013 Ahad ini.

Pemain kelahiran Seoul berusia 21 tahun itu melakukan kejutan dengan menumpaskan pemain perseorangan wanita nombor lima dunia dari Thailand Ratchanok Inthanon, 21-17 dan 21-14 untuk memberikan kemenangan 3-1 ke atas pasukan Thailand dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini Sabtu.

"Saya pernah menentangnya (Ratchanok) banyak kali sejak beberapa tahun lepas dan kami tahu corak permainan masing-masing...mungkin tuah di pihak saya untuk mengalahkannya hari ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu menerusi jurubahasa.

Sung berkata kemenangannya hari ini mungkin disebabkan keletihan dialami Ratchanok yang diheret ke rubber set semasa menentang Sayaka Takahashi dari Jepun pada perlawanan suku akhir pada Khamis yang menyaksikan Thailand mencatatkan kemenangan 3-1.

Mengulas pertemuan dengan pemain China atau Denmark pada perlawanan akhir esok, katanya beliau tidak mahu memberi tekanan keterlaluan kepada dirinya untuk memberikan mata penting untuk negaranya dan sebaliknya akan mementingkan keseronokan bermain.

China, juara lapan kali akan bertemu Denmark dalam satu lagi perlawanan separuh akhir hari ini, untuk menempah tempat ke perlawanan akhir.

Sementara itu, Ratchanok berkata beliau telah bermain sebaik mungkin dalam perlawanan itu dan menurutnya kekalahan berpunca daripada kecederaan lutut yang dialaminya awal tahun ini.

"Saya tidak tertekan untuk memenangi perlawanan ini walaupun saya sedar pasukan saya ketinggalan 2-1 di belakang Korea Selatan...mungkin permainan pertahanan saya kurang baik yang memberi kelebihan kepada lawan saya untuk menang," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain