suria

Tengku Abdullah Mahu Jawatankuasa Integriti Ditubuh Segera

PEKAN: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengarahkan semua persatuan bola sepak negeri yang belum mewujudkan jawatankuasa integriti supaya segera berbuat demikian bagi mengekang gejala mengatur perlawanan yang dilihat amat membimbangkan ketika ini.

Tengku Abdullah bertitah persatuan bola sepak negeri perlu memandang serius isu mengatur perlawanan dan rasuah kerana gejala itu bukan sahaja boleh menjejaskan imej bola sepak negara malah nama Malaysia di mata dunia.

"Saya rasa penubuhan jawatankuasa ini perlu diwajibkan bukan sahaja di peringkat nasional tapi peringkat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana gejala ini sudah jadi fenomena global bukan saja di Malaysia tapi sudah jadi penyakit di seluruh dunia. "Jadi, tubuhkanlah jawankuasa integriti secepat mungkin dan perlu diadakan sebuah program apakah tugas jawatankuasa tersebut, bukan sekadar hanya pada namanya sahaja," titah baginda yang juga Tengku Mahkota Pahang kepada pemberita selepas mengurniakan pingat darjah kebesaran Pahang sempena hari keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah ke-82 di Istana Abu Bakar di sini Sabtu.

Akhbar hari ini melaporkan empat persatuan bola sepak tempatan mengesahkan mereka sudah mempunyai jawatankuasa integriti seperti yang dituntut FAM bagi menangani gejala rasuah bola sepak.

Persatuan tersebut terdiri dripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Tengku Abdullah bertitah dengan penubuhan jawatankuasa integriti, sekurang-kurangnya ia boleh memainkan peranan utama dalam memberikan kesedaran kepada pegawai dan pemain terutamanya pemain muda tentang bahaya dan akibat sekiranya mereka terpalit dengan gejala mengatur perlawanan.

"Tetapi kalau ada pelbagai jawatankuasa sekalipun, kalau pemain atau pegawai itu sendiri tidak menyedari tentang kesan dan akibat jika terlibat dengan mengatur perlawanan atau rasuah, apa saja jawatankuasa yang ada pun tak guna," titah baginda.

Kesedaran itu titah baginda perlu datang dari dalam diri pemain dan pegawai dan sehubungan itu baginda menasihati mereka supaya tidak membuka peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menghampiri dan mempergunakan mereka.

"Jangan sekali-kali kita buka atau layan pihak-pihak yang cuba mahu rosakkan sukan bola sepak yang kita cintai ini dan implikasinya besar kerana kalau sekali mereka berjaya, mereka akan teruskan lagi dan kalau apa-apa jadi, mungkin keluarga akan terlibat secara tidak langsung dan sahabat akan terpalit secara langsung," titah baginda.

Baginda meminta bekas pemain yang pernah terlibat dengan isu itu satu ketika dulu dan kini telah menyesali kesilapan mereka supaya tampil menasihati pemain baharu khususnya supaya menjauhi aktiviti yang tidak sihat itu. -BERNAMA

Artikel Lain