suria

Rajagobal Cabar Harimau Malaya Buktikan Kemampuan Ketika Bertemu Arab Saudi

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal mencabar pemain skuad Harimau Malaya membuktikan kebolehan mereka ketika menentang Arab Saudi pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam Ahad.

Beliau berkata pemain yang diberi peluang beraksi perlu mempamerkan persembahan terbaik masing-masing bagi mengukur persiapan mereka untuk menentang Yemen dalam perlawanan penting Kumpulan D pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di venue yang sama pada 22 Mac.

Malaysia kalah 2-0 kepada Qatar pada perlawanan pembukaan pusingan kelayakan kejohanan itu di Al-Sadd Stadium, Doha, pada 6 Februari lepas.

"Saya tak mahu pemain memandang ringan perlawanan ini kerana ia merupakan perlawanan penting untuk saya menilai prestasi mereka menjelang pertemuan penting dengan Yemen nanti.

"Perlawanan ini juga memberi peluang terbaik kepada anak buah saya untuk membuktikan kebolehan mereka apabila menentang antara pasukan terkuat Asia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan di Wisma FAM, di sini, Sabtu.

Rajagobal berkata tiga pemain Harimau Malaya tidak dapat beraksi pada perlawanan malam esok kerana cedera dan mereka ialah pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Nor, pemain pertahanan Angkatan Tentera Amiridzwan Taj Tajudin serta pemain pertahanan Kelantan Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim.

"Wan Zack dan Amiridzwan cedera ketika menjalani latihan pusat di sini, manakala Mohd Shahrul Azim cedera teruk di bahagian buku lali ketika beraksi pada Piala AFC menentang Kelantan baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, wakil Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) Khalied Al-Woeiser berkata perlawanan persahabatan itu merupakan sebahagian daripada persiapan Arab Saudi untuk bertemu Indonesia bagi perlawanan Kumpulan C Pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 23 Mac.

"Kami pilih Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan kerana negara ini mempunyai persamaan daripada segi cuaca dengan Indonesia dan jurulatih kami (Juan Ramon Lopez Caro) akan menurunkan barisan pemain terkuat ketika menentang Malaysia sebagai persiapan kami untuk bertemu Indonesia," katanya.

Kini, Arab Saudi menduduki tangga teratas bagi Kumpulan C setelah mengalahkan China 2-1 di Damman, Arab Saudi pada 6 Februari. BERNAMA

Artikel Lain