suria

MLBF Sasar Boling Padang Dimasukkan Dalam Sukan Asia Dan Olimpik

KUALA LUMPUR: Persekutuan Boling Padang Malaysia (MLBF) mahu agar sukan itu dimasukkan ke dalam Sukan Asia dan seterusnya Sukan Olimpik, kata Presidennya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Katanya, MLBF akan menghantar laporan terperinci mengenai perkara itu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk dikemukakan kepada Majlis Olimpik Asia (OCA).

"Saya harap semua negara akan menggesa Majlis Olimpik anda masing-masing untuk menyokong usaha anda sebagai sebuah badan kebangsaan, juga harus memberi penekanan untuk memasukkan sukan ini," katanya ketika merasmikan Kejohanan Asia Pasifik ke-7 Merdeka, bahagian perseorangan, beregu campuran dan empat Kejohanan Boling Padang Tertutup 2012, di Stadium Tertutup Bayuemas di sini, Isnin.

Sebanyak 15 negara seperti China, India, Jepun, Australia, New Zealand dan hos Malaysia menyertai pertandingan tersebut.

Ahmad Sarji turut mencadangkan Kejohahan itu dinaik taraf kepada Kejohanan Jemputan Dunia, bermula tahun depan.

"Kejohanan Jemputan Dunia ini, adalah langkah pertama untuk melihat sukan boling padang dimasukkan ke dalam Sukan Asia dan seterusnya harapan untuk melihat sukan ini dalam Sukan Olimpik," tambahnya.

Kejohanan tersebut berakhir pada Ahad. - BERNAMA

Artikel Lain