suria

Nicol Dianugerah Pangkat Mejar Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela TUDM

Rodzali Daud memakaikan pangkat Mejar Kehormat kepada Nicol (kanan) pada majlis pentauliahan pangkat tersebut di Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan di sini, Rabu.
Rodzali Daud memakaikan pangkat Mejar Kehormat kepada Nicol (kanan) pada majlis pentauliahan pangkat tersebut di Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan di sini, Rabu.
Rodzali Daud memakaikan pangkat Mejar Kehormat kepada Nicol (kanan) pada majlis pentauliahan pangkat tersebut di Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan di sini, Rabu.

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David hari ini dianugerahi pangkat mejar kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pemakaian pangkat itu dilakukan oleh Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Rodzali Daud pada majlis di Wisma Pertahanan, di Jalan Semarak, di sini.

Nicol berkata beliau tidak pernah menyangka akan dianugerahi pangkat itu, dan berharap anugerah itu menjadi pendorong untuk beliau mencatat lebih banyak kejayaan dalam kejohanan skuasy berikutnya.

"Saya ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Jeneral Tan Sri Rodzali dan TUDM, kerana diberi penghormatan mendapat anugerah ini dan berharap ia akan menjadi pendorong kepada saya untuk meraih lebih banyak gelaran tahun ini," kata Nicol kepada pemberita selepas majlis itu.

Nicol berkata beliau akan meneruskan latihan di Amsterdam, Belanda di bawah bimbingan jurulatih dari Australia, Liz Irving.

"Musim kedua kejohanan skuasy baru saja bermula dan saya akan bertanding dalam beberapa kejohanan seperti Terbuka Carol Weymuller di New York, Terbuka China, Kejohanan Berpasukan Dunia di Perancis dan Terbuka Dunia di Cayman Island," katanya.

Sementara itu, Rodzali berkata Nicol menjadi atlet pertama yang dianugerahi pangkat itu, dan beliau sememangnya layak menerimanya memandangkan beliau melakar banyak kejayaan dalam kejohanan skuasy antarabangsa.

"Beliau (Nicol) mewakili kalangan remaja negara ini pada hari ini dan beliau memberi inspirasi kepada remaja dan tenaga kerja kami (TUDM) supaya meneladani beliau, yang menunjukkan dedikasi dan kerja keras yang sangat tinggi, selain mempunyai sikap tidak menyerah kalah demi menggenggam gelaran juara dunia dalam acara skuasy," katanya.

Rodzali berkata TUDM berharap anugerah itu akan memberi semangat kepada lebih ramai remaja di negara ini untuk menyertai angkatan tentera, dan berharap generasi akan datang akan mencontohi kerja keras dan dedikasi yang dipamerkan oleh Nicol sehingga mencapai kejayaan.

Nicol adalah atlet kedua dianugerahi pangkat seperti itu selepas pemain badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, yang dianugerahi pangkat Leftenan Komander Kehormat oleh Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia pada Julai lepas.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain