suria

Cub prix: Fuad Enggan Tewas Kepada Pelumba Muda

Ahmad Fuad Baharudin
Ahmad Fuad Baharudin
Ahmad Fuad Baharudin

PENGALAMAN hampir 15 tahun sebagai pelumba profesional menjadi taruhan utama Ahmad Fuad Baharudin untuk berhadapan pelumba-pelumba muda kategori CP130 pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di litar Kluang, Johor pada 22 dan 23 September ini.

Pelumba veteran dari pasukan Faito Motobert Racing yang telah berlumba sejak tahun 1997 itu yakin dengan pengalaman yang dimiliki, sekali gus mampu memberi maklum balas tepat kepada mekanik pasukan bagi menghasilkan jentera pantas dan seimbang.

"Jika di litar lain, saya akui agak sukar untuk berhadapan dengan pelumba muda yang lebih cergas dan agresif.

"Namun berbeza di Kluang, litarnya cukup teknikal dan memerlukan jentera yang pantas. Berbekalkan pengalaman selama ini, ia akan memberi sedikit kelebihan kepada diri saya.

"Litar ini mungkin kelihatan agak mudah untuk dikuasai namun sebenarnya ia tidak seperti yang disangka.

Sebaliknya ia agak teknikal kerana kebanyakan selekohnya agak tajam dan sempit. Ruang untuk memintas juga agak terhad dan sebarang kesilapan boleh membawa impak yang besar.

"Oleh itu jentera berkeupayaan tinggi merupakan kunci utama bagi membantu mendapatkan posisi baik di peringkat awal perlumbaan, "jelas Fuad yang kini berada di kedudukan keempat dalam senarai keseluruhan dengan 72 mata.

Pada masa sama, pelumba berusia 33 tahun ini berharap untuk meraih kemenangan pertamanya pada musim ini setelah memperagakan aksi cemerlang sepanjang enam pusingan lepas.

"Setakat ini, semuanya cukup baik terutama dengan kejayaan saya menempatkan diri di kelompok lima pelumba terbaik dalam empat perlumbaan termasuk awal, dua daripadanya di atas podium (Pusingan 3 – Kangar, Pusingan 4 – Banting).

"Cuma saya masih belum dapat meraih kejayaan sebagaimana yang dikecapi rakan sepasukan, Ahmad Fazrul Sham ketika dia menjuarai perlumbaan Pusingan 6 di Muar.

"Jadi sebab itulah saya begitu inginkan gelaran juara di Kluang, apatah lagi ia dapat membantu merapatkan jurang mata dengan pendahulu keseluruhan sekaligus terus menghidupkan peluang saya merebut mahkota CP130 pada musim ini,” kata Fuad.

Selepas selesai enam pusingan setakat ini, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing mengungguli kedudukan CP130 dengan 100 mata, 18 mata mengatasi Fazrul Sham di tangga kedua manakala Mohd Zaqhwan Zaidi ketiga, 81 mata.

Artikel Lain