suria

Chong Wei Jumpa Chen Long Pada Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Datuk Lee Chong Wei mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, malam Jumaat.

Perseorangan nombor satu dunia itu, bagaimanapun bakal berdepan laluan sukar Sabtu apabila dijadualkan bertemu pilihan ketiga kejohanan Chen Long dari China.

"Saya harap dapat mengekalkan prestasi saya dari Terbuka Korea (minggu lepas) sehingga esok dan final.

"Perlawanan Sabtu juga mungkin menjadi perlawanan paling getir untuk saya jadi saya perlu fokus dan siapkan diri sendiri," katanya kepada media selepas memenangi perlawanan suku akhir menentang Indonesia Taufik Hidayat 21-9, 21-18.

Terdahulu, Chen Long mengalahkan Sho Sasaki dari Jepun 21-19, 21-17.

Satu lagi perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki esok akan berlangsung di antara Chen Jin dari China dengan Kenichi Tago dari Jepun.

Pada Jumaat, Chen Jin menumpaskan pemain Denmark Jan O Jorgensen 21-16, 20-22, 21-6 manakala Tago mudah mengenepikan saingan Simon Santoso dari Indonesia 21-15, 21-9.

Turut mara ke separuh akhir ialah beregu campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang mengalahkan Danny Bawa Chrisnanta dan Yu Yan Vaneesa Neo dari Singapura 21-13, 14-21, 27-25.

Chan dan Goh mempamerkan aksi cemerlang pada set pertama, namun agak tergopoh-gapah di set kedua sehingga memberi peluang kepada beregu Singapura itu membawa permainan ke set penentuan.

Pada set ketiga, permainan sengit apabila kedua-dua beregu saling meraih mata dan permainan berlanjutan hingga kedudukan 25-25, sebelum beregu negara menamatkan perlawanan dengan mata 27-25.

"Sangat terkejut. Kami sangat gembira dengan kemenangan ini. Pada akhir set ketiga tadi kami hanya fikir untuk kutip mata demi mata dan akhirnya kami menang," kata Chan.

Beregu ranking ke-11 dunia itu akan bertemu beregu nombor satu Zhang Nan dan Zhao Yunlei dari China dalam peringkat separuh akhir, Jumaat.

Sementara itu beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei memperoleh kemenangan percuma ke atas gandingan China Yixin Bao/Zhang Qianxin apabila lawan mereka menarik diri akibat kecederaan selepas mendahului 14-21, 4-9. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain