suria

Chong Wei Berazam Mahu Buru Gelaran Kelapan Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei berazam memburu gelaran juara Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia kali kelapan buat dirinya selain mempamerkan persembahan terbaik untuk peminat.

Beliau menjuarai kejohanan itu pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011. Pada 2007, anak jati Pulau Pinang itu tersungkur pada peringkat suku akhir di tangan pemain China Bao Chunlai.

"Saya berjanji akan memberi persembahan terbaik di laman sendiri dan mencatatkan kemenangan kali kelapan pada kejohanan kali ini," katanya kepada pemberita, di sini Rabu.

Chong Wei ditemui selepas melakukan kunjungan hormat ke atas isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia, di kediaman beliau di Jalan Duta.

Pada majlis itu, Chong Wei turut menyerahkan dua raket yang digunakan beliau semasa menundukkan seteru ketatnya Lin Dan pada final Terbuka Korea baru-baru ini.

Mengulas mengenai serangan psikologi Lin Dan terhadap beliau pada pertemuan itu, Chong Wei berkata beliau sudah lali dengan perkara tersebut memandangkan sudah beberapa kali berdepan dengan pemain nombor dua dunia tersebut.

"Lin Dan selalu berkata sebegitu sebelum bermulanya sesuatu pertandingan tapi ia tidak menjejaskan tumpuan saya pada kejohanan kali ini," katanya.

Katanya kemenangan ke atas Lin Dan pada kejohanan itu disebabkan beliau kurang melakukan kesilapan serta lebih fokus pada penghujung perlawanan berbanding pemain China berkenaan.

"Bagaimanapun, saya akan lihat semula perlawanan tersebut bersama jurulatih saya (Tey Seu Bock) kerana Lin Dan mungkin merancang strategi baru ketika berdepan saya pada kejohanan-kejohanan akan datang," katanya.

Chong Wei akan memulakan aksi pada Terbuka Malaysia hari ini dengan menentang rakan senegara Daren Liew.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil itu menawarkan hadiah keseluruhan US$400,000 (RM1.269 juta).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain