suria

Pandelela Raih Anugerah Mas MSSM-Milo Buat Kali Kedua

PETALING JAYA: Penerjun kebangsaan Pandelela Rinong memenangi Anugerah Emas Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM-MILO) buat kali kedua selepas meraihnya pada 2008 berikutan pencapaian cemerlangnya sepanjang tahun lepas.

Anugerah Emas MSSM-Milo merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan MSSM kepada pelajar yang mempamerkan aksi cemerlang dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bapanya, Pamg A/K Joheng, yang mewakili Pandelela, menerima trofi, pingat serta wang tunai RM5,000 yang disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong pada majlis Anugerah Sukan MSSM-Milo 2010 di sini, Jumaat. Penerjun berketurunan Bidayuh berusia 18 tahun itu tidak dapat hadir kerana berada bersama skuad terjun kebangsaan di China sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA di Indonesia, November ini.

Pamg, yang ditemui pemberita selepas majlis itu, melahirkan rasa bangga di atas kejayaan anaknya yang merupakan pelajar prauniversiti Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Saya berharap anugerah ini akan menjadi pendorong kepada beliau untuk beraksi cemerlang pada Sukan Olimpik (2012 di London) nanti," katanya.

Antara pencapaian terbaik penerjun yang telah melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu sepanjang tahun lepas adalah meraih pingat emas dalam acara 10m Platform Individu dan pingat perak dalam 10m Platform Berirama bersama seorang lagi penerjun kebangsaan Leong Mun Yee pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India. Selain itu, beliau turut merangkul pingat perak bersama Mun Yee dalam acara 10m Platform Berirama dan pingat gangsa menerusi acara 10m Platform Individu pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Selain Pandelela, bekas atlet gimrama negara Elaine Koon menerima anugerah Puteri Sukan berupa pingat dan wang tunai RM5,000 di atas kecemerlangan sepanjang kariernya.

Antara pencapaian terbaik pelajar Tingkatan 5 Sekolah Sukan Bukit Jalil itu adalah meraih tiga pingat emas menerusi acara tali, bola dan riben pada Sukma 2010 di Melaka selain memenangi satu pingat emas dalam acara gelung, satu pingat perak dalam acara bola serta tiga pingat gangsa dalam kategori individu keseluruhan tali dan riben pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.

Sementara itu, MSS Selangor dinobatkan selaku juara MSSM buat kali ke-11 berturut-turut sejak 2001 selepas memungut mata tertinggi bagi 24 jenis sukan yang dipertandingkan dalam MSSM sepanjang tahun lepas.

Berikut ialah keputusan penuh Anugerah Sukan MSSM-MILO 2010:

Anugerah Emas: Pandelela Rinong A/K Pamg (Terjun)

Anugerah Tunas Harapan Putera: Mohd Farez Izwan Mohd Mukhtar (Skuasy)

Anugerah Pendidikan Khas Putera: Mohamad Saifuddin Ishak (Olahraga)

Anugerah Khas Putera: Yeap Wai Kin (Wushu)

Anugerah Putera Sukan: Teo Ee Yi/ Nelson Heg Wei Kiat (Badminton)

Anugerah Guru Berjasa (Lelaki): Md Noor Nek Elias (Ragbi)

Anugerah Tokoh Sukan (Kepimpinan): Allahyarham Mohamed Latifi Abu Bakar (Ketua Unit Sukan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor) (Balu Allahyarham, Zuraida Abu Bakar menerima anugerah bagi pihak Allahyarham.)

Anugerah Tunas Harapan Puteri: Yus Syazlin Nabila Yusri (Tenis)

Anugerah Pendidikan Khas Puteri: Norsuhana Ramlan (Olahraga)

Anugerah Khas Puteri: Phoon Eyin (Wushu)

Anugerah Puteri Sukan: Elaine Koon (Gimrama)

Anugerah Guru Berjasa Wanita: Yeo May Lin (Gimrama)

- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Emir Kejar Mata Maksimum

Artikel Lain