suria

Impian Syafiqah Ke Olimpik Jadi Kenyataan

KUALA LUMPUR: Pemanah kebangsaan Nurul Syafiqah Hashim tidak menyangka impiannya untuk ke Sukan Olimpik London 2012 menjadi kenyataan setelah melepasi had kelayakan ketika beraksi di Kejohanan Memanah Asia di Tehran, Iran yang berakhir Isnin lepas.

Beliau yang akan beraksi dalam acara recurve, berkata pencapaiannya itu adalah hasil kerja kerasnya selama ini, selain suntikan semangat daripada kejayaan skuad memanah lelaki yang layak lebih awal.

Nurul Syafiqah juga berikrar untuk tidak mensia-siakan peluang pada penampilan sulungnya di temasya sukan terbesar dunia itu.

Pada kejohanan di Tehran, Nurul Syafiqah melakukan 599 panahan mengatasi pemanah tuan rumah Sareh Asadi, untuk menduduki tempat ketiga kategori wanita ketika peringkat penentuan.

Sebelum ini, trio memanah lelaki negara Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad dan Hafiz Kamaruddin layak ke Olimpik London dalam acara recurve lelaki berpasukan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Zolkples Embong ketika berkata, kejayaan itu mencatat sejarah tersendiri kerana buat pertama kali skuad memanah negara ke Olimpik diwakili lelaki dan wanita.

"Saya bangga dengan kejayaannya dan berharap skuad berpasukan wanita negara akan menuruti jejak langkah tersebut pada kejohanan yang berikutnya di Amerika Syarikat pada awal tahun depan," katanya.

Zolkples berkata susulan kejayaan itu, Nur Syafiqah layak menerima elaun RM2,500 sebulan bermula Disember ini sebagai dorongan untuk beliau berlatih bersungguh-sungguh.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain