suria

Tiket Bersubsidi Dijual RM45 Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Tiket bersubsidi berharga RM25 bagi perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan pada Sabtu ini, didapati dijual di pasaran gelap di sini pada harga RM45.

Tinjauan Bernama di perkarangan pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sini tengah hari tadi mendapati terdapat seorang penjual tiket berlegar-legar untuk mencari peminat yang sanggup membayar pada harga yang lebih tinggi itu.

Seorang penyokong Terengganu, Rosamiza Omar, 45, berkata beliau terpaksa membeli tiket itu walaupun pada harga yang tinggi memandangkan tiket telah habis dijual sejak Rabu.

"Sebaik sahaja mengetahui tiket habis dijual, saya pergi pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri untuk mendapatkannya di sana kerana difahamkan setiap pejabat DUN dan Parlimen dibekalkan dengan 500 tiket.

Bagaimanapun apabila sampai di sana saya dimaklumkan tiket tersebut masih belum diterima, jadi saya terpaksa beli daripada penjual berkenaan," katanya.

Tiket untuk perlawanan akhir itu berharga RM50 tetapi kerajaan Terengganu menampung separuh daripada kos untuk 30,000 tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Terengganu.

Seorang kakitangan PBSNT ketika ditemui enggan mengulas mengenai penjualan tiket di pasaran gelap itu kerana ia di luar kawalan persatuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Emir Kejar Mata Maksimum

Artikel Lain